Wednesday, December 28, 2011

Sekolah Bergerak Idea Tingkatkan Kecemerlangan Pendidikan Negara.

Assalamualaikum...Bismillahirahmanirahim....
Segala puji-pujian ke atas Allah swt dan junjungan Nabi Muhammad saw, Ammabaq...


   Pendidikan adalah ukuran kepada kemajuan. Kemajuan sesebuah negara adalah lahir daripada kecemerlangan institusi pendidikan yang dapat  melahirkan produk modal insan kelas pertama. Menuju cita-cita mencapai status negara maju bererti kita harus memperkemaskan terlebih dahulu agenda pendidikan negara. Pendidikan yang cemerlang akan menggarapkan kepada wacana percambahan ilmu yang akan menjana perkembangan pemikiran untuk membentuk entiti sebuah bangsa yang maju. R&D  dan inovasi perlu diperhebatkan untuk menghasilkan tonik yang mujarab dalam melangkah gagah ke arah mutu pendidikan terbilang.

   Resolusi pertama ialah membasmi buta huruf pada angka sifar, disamping meningkatkan daya penguasaan ilmu oleh para pelajar. Tidak ramai pelajar kita yang cintakan ilmu kerana persekitaran yang wujud disekilingnya tidak begitu kondusif ke arah itu. Jadi, kita perlulah mewujudkan satu fenomena budaya cintakan ilmu supaya ianya akan menjadi satu trend baru kepada anak muda kita iaitu trend budaya membaca. Pembacaan akan dapat menggalakkan perkembangan minda yang akan mencetuskan pemikiran yang hebat dengan mempunyai pandangan yang jauh ke depan.

   Idea realistik yang boleh diguna pakai untuk permulaan kita kepada sebuah bangsa yang berilmu ialah dengan mewujudkan sekolah bergerak. Sekolah bergerak ini ialah sebuah bas yang diubahsuai dengan dilengkapi kemudahan pembelajaran yang sesuai untuk sebuah sekolah segera.  Sekolah bergerak ini akan bergerak ke kawasan pedalaman dan kampung-kampung untuk memberikan khidmat pendidikan secara tidak formal. Sekolah bergerak ini akan beroperasi pada hari minggu  dan hari tertentu untuk memberi tunjuk ajar, membimbing dan mendidik anak-anak yang tidak tahu membaca dan yang lemah dalam pelajaran. Guru khas diwujudkan untuk tujuan ini yang diberikan elaun istimewa untuk mereka bekerja bersungguh-sungguh untuk mengubah masyarakat yang celik ilmu. Sekolah bergerak ini adalah juga merupakan perpustakaan bergerak untuk menjadi pusat sehenti menggalakkan masyarakat membaca. Sedikit ganjaran disediakan kepada anak-anak yang tidak tahu membaca dan yang lemah dalam pelajaran sebagai tarikan untuk menarik minat mereka membaca dan menuntut ilmu.

   Anak yang buta huruf dan anak yang lemah dalam pelajaran adalah berpunca daripada sikap keluarga itu sendiri yang tidak memberikan pendidikan awal kepada anak mereka di rumah. Apabila cukup umur tujuh tahun, anak ini dihantar ke sekolah dengan keadaan yang tidak tahu membaca. Tugas ini akan menjadi sukar kepada guru di sekolah untuk mengajarnya mengenal huruf kerana murid-murid yang lain telah mengenali huruf melalui pendidikan awal oleh ibu bapa di rumah. Kekangan masa dan bebanan kerja membataskan komitmen guru untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada murid tersebut. Jadi, sekolah bergerak ini adalah satu kaedah yang begitu relevan untuk memastikan anak-anak yang terbiar daripada kecaknaan ibu bapa terhadap pendidikan awal seawal umur 3,4 dan lima tahun untuk diajar membaca,menulis dan mengira seperti anak-anak yang ibu bapa mereka peka terhadap perkembangan pendidikan pada peringkat awal. Sekiranya insan yang terbiar pendidikannya ini diajar mengenal huruf dan angka pada peringkat awal pasti mereka akan melangkah ke alam persekolahan seperti murid yang lain yang telah dapat membaca dan mengira,sekaligus melancarkan proses P&P di dalam kelas.

   Pendidikan kita hari ini harus berani melangkah ke hadapan dengan mencuba idea yang baru untuk mencetuskan kecemerlangan institusi pendidikan negara. Kita masih lagi obses dengan cara pendidikan konvensional yang kurang efektif kepada perkembangan dunia pendidikan moden.  Mencita-citakan Malaysia sebagai sebuah negara maju menuntut kepada kemajuan pendidikan terlebih dahulu dengan seluruh isi bangsanya berilmu dan beramal untuk bergerak seiring menerokai Malaysia era maju. 

Sesungguhnya yang baik itu datang daipada Allah swt dan yang buruk itu datang daripada kelemahan diri sendiri yang perlu diperbaiki dari semasa ke semasa. Wallahualam.

No comments: