Wednesday, December 28, 2011

Punca dan Mekanisme Terbaik Dalam Menangani Isu Keruntuhan Moral Pelajar Sekolah

Bismillahirahmanirahim....
Segala puji-pujian ke atas Allah swt Nabi Muhammad saw, Ammabaq...

   Isu displin dan keruntuhan moral pelajar sekolah adalah satu isu yang sentiasa tiada kesudahannya. Dari dulu hinggalah sekarang masalah displin, sosial, peradaban dan moral dikalangan pelajar sekolah  nampaknya semakin lama semakin menjadi-jadi hinggakan semua pihak buntu dalam mencari jalan penyelesaiannya. Ibu bapa, guru, masyarakat, NGO dan kerajaan harus sedar bahawa permasalahan ini perlu diatasi dengan segera kerana pelajar-pelajar sekolah ini perlu dilengkapkan dengan akhlak yang baik kerana mereka adalah aset yang terpenting dalam agenda kemajuan dan kemakmuran negara. Sekiranya isu ini terus berlarutan, ianya akan menyumbang kepada peningkatan indeks jenayah, sekaligus merugikan negara yang begitu memerlukan tenaga kerja golongan muda yang berwibawa dalam mendokong aspirasi pembangunan sosio-ekonomi negara.
 
   Punca kepada segala isu keruntuhan moral pelajar ini ialah kerana ramai pelajar kita yang tidak cukup solat lima waktunya. Malahan ada yang tidak pernah bersolat. Ada juga yang tidak tahu macam mana untuk bersolat. Yang paling mendukacitakan ialah ada antara mereka yang mana seluruh ahli keluarga mereka tidak pernah mengerjakan solat. Inilah permasalahan besar jawapan kepada isu keruntuhan moral pelajar sekolah. Solat itu adalah benteng diri kepada setiap manusia. Tetapi bila kita tidak sembahayang, benteng apa yang mereka ada untuk mempertahankan diri mereka daripada melakukan dosa dan kesilapan.

   Tidak perlulah kita sibuk membincangkan tentang permasalahan ini secara panjang lebar sehingga menjadi satu isu perdebatan di antara kita sekiranya pokok asasnya iaitu solat lima waktu sehari semalam itu terlepas pandang daripada benak fikiran kita. Bincanglah walaupun sampai ke kiamat, masalah displin pelajar tidak akan selesai sampai bila-bila selagi manusia itu tidak menyembah Allah dengan menyempurnakan solat lima waktu.

   Banyak yang perlu diperbaiki dalam sistem sekolah di negara kita. Murid-murid di peringkat sekolah rendah dan menengah pada sesi petang sepatutnya diperuntukkan masa khas untuk solat secara berjemaah Zuhur dan Asar di sekolah. Apa yang berlaku di sekolah pada hari ini, murid-murid tidak dipaksa atau diwajibkan untuk bersolat. Hanya murid-murid yang memang kaki solat sahaja yang bersolat. Macam mana murid yang tidak bersolat? Jawapannya ialah murid ini akan terus lalai dan hanyut dalam kejahilan. Kejahilan inilah  sebenarnya yang telah mengundang seribu macam satu permasalahan kepada kita semua.

   Penyelesaian yang terbaik ialah pihak Kementerian Pelajaran perlu mencipta satu dasar baru dengan menjadikan solat Zuhur dan Asar sebagai jadual harian yang wajib di semua sekolah rendah dan menengah di seluruh negara. Apabila sahaja masuk waktu Zuhur dan Asar, semua murid, guru-guru ,pentadbir sekolah, kakitangan sokongan, tukang kebun, pekerja kantin dan  pengawal keselamatan wajib menyembah Allah swt secara berjemaah. Murid-murid yang ponteng harus didenda dengan seadil-adilnya. Peruntukkanlah masa setengah jam untuk setiap kali waktu solat. Janganlah kita beranggapan dengan peruntukkan waktu setengah jam untuk murid bersolat akan menganggu waktu P&P. Sebenarnya tiada apa yang merugikan. Murid-murid tidak akan bodoh sekiranya terpaksa mengorbankan masa P&P semata-mata kerana untuk solat berjemaah. Malah, murid-murid akan menjadi lebih mantap rohaninya yang akan memberikan mereka kekuatan untuk mereka berjaya di dunia dan akhirat.

   Semua pihak harus membuka mata tentang perkara ini. Mengapa harus kita perlu memerah otak untuk membincangkan tentang kebimbangan displin pelajar yang semakin tidak terkawal dengan pelbagai kesalahan sehingga menjerumus kepada jenayah, sedangkan punca dan langkah untuk mengatasinya adalah terlalu simple iaitu manusia hanya perlu bersembahayang untuk menjadikan Malaysia ini aman dan damai. Maka, sudah sampai masanya Kementerian Pelajaran perlu bertindak segera mencipta satu revolusi baru dalam agenda pendidikan negara. Selagi pelajar kita tidak  bangkit menyembah Allah, selagi itulah mereka akan terus lalai dan alpa tentang tanggungjawab mereka yang sebenarnya kepada agama, bangsa dan negara.

Sesungguhnya yang baik itu datang daipada Allah swt dan yang buruk itu datang daripada kelemahan diri sendiri yang perlu diperbaiki dari semasa ke semasa. Wallahualam.

No comments: