Saturday, December 31, 2011

Sistem Pembelajaran Bahasa Inggeris Perlu Pendekatan Baharu


Assalamualaikum...
Bismillahirahmanirahim....
Segala puji-pujian ke atas Allah swt dan junjungan Nabi Muhammad saw, Ammabaq...

   Usaha murni Kementerian Pelajaran Malaysia ingin mempertingkatkan tahap  penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar khususnya pelajar bumiputera adalah merupakan satu langkah yang terpuji. Subjek Bahasa Inggeris adalah merupakan satu subjek yang cukup penting. Namun bagi kebanyakan pelajar bumiputera kita terutamanya di luar bandar ianya cukup sinonim sebagai satu subjek yang fobia . Fenomena ini bukanlah merupakan suatu perkara yang baru, tetapi fobia ini telah berakar umbi sejak berzaman lagi. Istilah fobia inilah yang merupakan faktor utama yang menyumbang kepada kemerosotan peratus  pencapaian Bahasa inggeris. 

   Telah berdekad lamanya isu kelemahan pelajar dalam subjek Bahasa Inggeris ini wujud. Semenjak daripada tadika hinggalah ke tingkatan lima Bahasa Inggeris dipelajari, namun kemampuan pelajar kita dalam menguasai Bahasa Inggeris tidak pernah menampakkan perubahan yang ketara.   Pelbagai inisiatif telah dilakukan, namum nilai keberhasilannya tetap berputar pada skala yang sederhana hingga ke hari ini. Persepsi bahawa Bahasa Inggeris itu susah dan membosankan masih lagi menebal dalam diri pelajar yang sukar untuk diubah supaya mereka mempunyai satu minda yang positif terhadap Bahasa Inggeris. Selagi situasi ini tidak ditangani, maka selagi itulah permasalahan ini akan terus menjadi duri dalam daging dalam kita mencari jawapan kepada jalan penyelesaiannya.

   Penyelesaian kepada isu ini ialah sistem pembelajaran Bahasa Inggeris perlu kepada cara pendekatan yang baru. Sistem yang ada sekarang perlukan kepada penambahbaikan. Sistem pembelajaran Bahasa Inggeris sekarang secara keseluruhannya berfokuskan kepada penilaian peperiksaan yang memerlukan pelajar mesti belajar untuk lulus. Bab belajar inilah bukannya kegemaran para pelajar kita. Apatah lagi untuk belajar Bahasa Inggeris. Bermacam ragam pelajar kita apabila dikaitkan dengan deskripsi Bahasa Inggeris itu. Ada pelajar yang cemerlang, tetapi gred Bahasa Inggerisnya rendah. Ada juga yang gred Bahasa Inggerisnya bagus, tetapi tidak boleh berkomunikasi dengan baik dalam Bahasa Inggeris. Terdapat juga yang boleh berbahasa Inggeris tetapi gred markahnya rendah. Paling malang sekali, pelajar yang lemah semua subjek termasuklah Bahasa Inggeris. Ketidakseragaman ini memberi erti bahawa sistem pembelajaran Bahasa Inggeris perlu kepada satu standard yang baru.

  Dunia globalisasi dan modenisasi sekarang ini menuntut umat manusia faham dan mampu berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris supaya kita tidak ketinggalan dalam arus rentak kemajuan moden. Faham dan boleh berbahasa Inggeris sebenarnya sudah memadai pada dunia sekarang ini. Tetapi dalam isu Bahasa Inggeris ini,  kita masih lagi terikat dengan sistem peperiksaan. Peperiksaan itu menjadi kayu ukur kepada tahap penguasaan Bahasa Inggeris seseorang itu. Lulus dengan cemerlang, maka bererti baguslah penguasaan Bahasa Inggeris seseorang itu. Tanggapan ini sebenarnya sudah tidak boleh diambil kira lagi pada masa kini.

   Pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah sekarang ini lebih menekankan kepada kemahiran menguasai grammar, sedangkan penguasaan asas Bahasa Inggeris itu sendiri masih lagi belum dapat dikuasai oleh pelajar. Mempelajari hukum Bahasa Inggeris inilah sebenarnya yang membosankan pelajar. Bagi pelajar, ianya amat susah untuk difahami. Secara tidak langsungnya, pelajar akan belajar ala kadar sahaja tanpa mereka sedari bahawa betapa pentingnya keperluan menguasai Bahasa Inggeris itu pada dunia hari  ini. Pembelajaran Bahasa Inggeris yang lebih kepada grammar ini hanyalah sesuai untuk pelajar bandar yang sudah fasih berbahasa Inggeris untuk mereka lebih mendalami Bahasa Inggeris.
  Kaedah pembelajaran Bahasa Inggeris perlu ditukar kepada satu bentuk pembelajaran yang baharu. Pembelajarannya mestilah lebih menjurus kepada kemahiran bertutur, mendengar dan memahami pertuturan Bahasa Inggeris itu sendiri. Modul pelajaran hendaklah menekankan kepada keupayaan pelajar untuk memahami pertuturan Bahasa Inggeris dan mampu untuk membalas balik pertuturan tersebut. Pembelajarannya hendaklah lebih kepada aktiviti perbualan seharian bagi memahirkan dan membiasakan murid untuk bertutur Bahasa Inggeris. Peperiksaannya juga mestilah mengambil kira keupayaan pelajar itu dalam memahami dan berbahasa Inggeris sebagai syarat wajib lulus peperiksaan. Dengan cara ini, pelajar akan terdedah kepada dunia pertuturan Bahasa Inggeris yang akan memberikan mereka keberanian dan keyakinan untuk bertutur dalam Bahasa Inggeris. Maka ramailah nanti rakyat Malaysia yang boleh berbahasa Inggeris.

   Dunia pendidikan negara perlulah berani mengubah sistem pembelajaran Bahasa Inggeris yang ada pada masa sekarang ini, sekiranya benar-benar berhasrat untuk melihat generasi baharu yang mampu berbahasa Inggeris. Tetapi harus diingat, Bahasa Inggeris bukanlah pengukur kepada kemajuan sesebuah negara. Ianya tidak lebih hanya sekadar pelengkap kepada tuntutan kemajuan dunia globalisasi. Kemajuan yang dicapai akan lebih manis dan bermakna sekiranya kita mendaulatkan bahasa ibunda sendiri lebih daripada bahasa lain. Bahasa Jiwa Bangsa.

   Sesungguhnya yang baik itu datang daipada Allah swt dan yang buruk itu datang daripada kelemahan diri sendiri yang perlu diperbaiki dari semasa ke semasa. Wallahualam.

No comments: