Sunday, February 26, 2012

"Lembaga Tabung Perniagaan" Pemacu Ekonomi Negara.

Assalamualaikum...Bismillahirahmanirahim....
Segala puji-pujian ke atas Allah swt dan junjungan Nabi Muhammad saw, Ammabaq...


     Perniagaan adalah jantung kepada ekonomi. Tanpa perniagaan apakah ertinya istilah bagi maksud ekonomi. Kosong dan tak bermakna bukan? Apalah ertinya kemajuan sains, teknologi, peradaban, budaya dan sebagainya tetapi tidak boleh diterjemahkan ke dalam bentuk perniagaan. Dunia sekarang bersandarkan kepada kuasa wang untuk berputar bagi menjalani proses kehidupan seharian. Dari manakah kuasa wang itu dapat diperolehi kalau bukan daripada aktiviti perniagaan? Apakah sesebuah negara itu maju jika mereka tidak mengkomersialkan kelebihan yang mereka miliki. Sudah tentu tidak. Perniagaan akan membawa kepada perdagangan, seterusnya menjana ekonomi sesebuah negara. Fakta Nabi Muhammad s.a.w bahawa 9 / 10 punca rezeki itu datang daripada perniagaan adalah sesuatu teori yang tiada dangkalnya lagi walaupun dipraktikalkan. 

     Daripada sekecil perniagaan di kaki lima sehingga ke gergasi konglomerat, sumbangan perniagaan adalah kuasa dominan kepada tafsiran kemajuan. Semua perkara di dunia ini telah dijadikan perniagaan. Pendidikan, perubatan, perkhidmatan, hiburan, dan semuanya telah dijadikan sebagai punca rezeki. Semakin dunia ini menjadi kompleks, semakin terdesak manusia di muka bumi ini ligat mencari dan mencipta alternatif untuk menambahkan sumber pendapatan sehingga ada yang sanggup melakukan apa sahaja walaupun di luar batasan dan sempadan.

     Bangsa yang aktif dalam aktiviti perniagaan akan menguasai kepentingan ekonomi di dalam sesebuah negara. Lihat sahaja bangsa Cina di Malaysia di mana bangsa mereka telah menguasai ekonomi negara. Kenapa boleh jadi begitu? Ianya tidak lain tidak bukan kerana bangsa mereka menjadikan perniagaan sebagai darah daging mereka dalam mencari rezeki hidup. Banyak bidang perniagaan yang dikuasai oleh mereka tidak dapat ditembusi oleh kaum lain. Kenapa? Semua ini adalah kerana kesepakatan mereka mencari dan berkongsi ilmu perniagaan, menabung serta membantu memberi modal, menyuntik motivasi yang membina, kesatuan yang teguh dan semangat yang membara tanpa mudah berputus asa. 

     Kaum bumiputera Malaysia harus mengorak langkah baru dalam memberikan persaingan kepada segmen perniagaan di Malaysia. Generasi muda harus dipupuk dan didedahkan dengan ilmu perniagaan. Kita harus membina generasi baru kita menjadi usahawan yang berjaya. Satu platform untuk ke arah itu harus disediakan oleh pihak kerajaan, swasta dan NGO untuk melahirkan lebih ramai bakal usahawan yang mampu memberikan dimensi baru kepada landskap ekonomi negara. Kikiskan dengan segera stigma bahawa makan gaji adalah lebih senang daripada kotak pemikiran generasi muda kita. Saya percaya bahawa kita akan mampu melahirkan lebih ramai usahawan bumiputera sekiranya inisiatif-iniasitif yang bijak dan berinovasi diwujudkan dan diadakan. Kekurangan ilmu, modal, semangat, perhatian dan tunjuk ajar adalah wabak permasalahan utama yang menjadi punca kenapa bumiputera kita gagal untuk bersaing di pentas perniagaan yang kompetitif. Suatu langkah yang dinamik perlu diambil untuk membantu kaum bumiputera muncul sebagai pesaing baru yang disegani sehingga dapat menembusi perniagaan dominan kaum tunggal untuk mencetuskan persaingan sihat yang lebih terbuka dalam prospek perniagaan di Malaysia.

     "Lembaga Tabung Perniagaan " adalah inovasi jawapan kepada penyediaan platform terbaik untuk melahirkan lebih ramai usahawan bumiputera. Ianya seperti Lembaga Tabung Haji di mana bakal haji menyimpan duit sedikit demi sedikit sehingga cukup untuk menunaikan fardhu haji. Konsep "Lembaga Tabung Perniagaan" ini juga seakan sama fungsinya dengan Lembaga Tabung Haji iaitu sebagai pusat penabungan awal bagi menyimpan modal sebagai dana memulakan sesuatau perniagaan. Orang ramai boleh membuka akaun untuk menabung bagi memulakan perniagaan pada suatu hari nanti. Deposit itu akan disimpan oleh "Lembaga Tabung Perniagaan" yang kemudiannya dilaburkan ke dalam sektor pelaburan yang menepati syariah Islam."Lembaga Tabung Perniagaan" akan memberikan dividen hasil keuntungan daripada pelaburan tersebut. Maka akan bertambahlah lagi modal bakal usahawan. Prinsip tegas badan ini ialah pencarum tidak boleh mengeluarkan wang sesuka hati untuk keperluan dan kepentingan lain. Wang hanya boleh dikeluarkan untuk memulakan perniagaan sahaja. Pencarum juga boleh membuat pemotongan gaji untuk menyimpan secara tetap dan konsisten. Akaun juga boleh dibuka pada seawal usia 1 hari lagi oleh para ibu bapa untuk menggalakkan anak mereka berniaga bagi menjamin masa depan anak-anak. 

     Penyimpan juga boleh menyimpan dalam bentuk emas. Emas yang disimpan akan dikira pada nilaian harga pada hari emas itu disimpan. Pengeluarannya pula akan dikira pada nilai harga semasa emas pada tarikh yang dikeluarkan itu. Ini akan memberikan keuntungan yang berlipat kali ganda sekaligus menyuntik tabungan modal yang lebih besar. Pihak "Lembaga Tabung Perniagaan" juga  boleh menyediakan konsep simpanan emas iaitu penyimpan boleh menyimpan di dalam akaun bentuk syiling emas atau dinar emas untuk mendapatkan keuntungan yang lebih. Cara penyimpanan ini adalah variasi inovasi yang harus dipraktikalkan kerana emas mempunyai kekuatan tersendiri daripada ancaman ekonomi global, selain memacu perkembangan ekonomi ummah.

    "Lembaga Tabung Perniagaan"  ini juga bertindak dari segi memberikan khidmat nasihat, bantuan teknikal dan tunjuk ajar kepada bakal usahawan. Sebelum menceburi bidang perniagaan, bakal usahawan harus mengikuti kelas asas perniagaaan untuk mendalami ilmu dan selok belok perniagaan. Latihan praktikal untuk menimba pengalaman dalam dunia perniagaan sebenar harus diberikan pendedahan dalam skim lembaga ini. Bakal usahawan juga perlu dipantau dan dibimbing pada peringkat awal perniagaan dari semasa ke semasa sebelum mereka menjadi seorang usahawan yang berjaya. Sokongan dan dorongan adalah elemen utama yang haruskan diberikan kepada usahawan secara berterusan bagi memberikan mereka semangat untuk terus berusaha mencapai kejayaan

     Transformasi negara maju akan menjadi omong kosong sekiranya hanya dengan mengharapkan projek mega kerajaan yang kemudian digerakkan oleh gergasi korporat sedangkan rakyat biasa lebih gemar untuk makan gaji. Situasi ini tidak meransang kerancakkan perkembangan ekonomi kerana tidak berupaya mewujudkan kesalingbergantungan pemain industri. Budaya minat berniaga harus disemai seawal usia. "Lembaga Tabung Perniagaan" adalah satu platform terbaik menarik minat orang ramai kepada bidang perniagaan. Dengan adanya "Lembaga Tabung Perniagaan" ini pasti akan membuka kesedaran kepada kaum bumiputera Melayu khususnya tentang kebaikan dan kelebihan menjadi seorang saudagar perniagaan. Secara tidak langsung ianya akan membuka lembaran baru kepada ekonomi negara dengan kehadiran lebih ramai usahawan bumiputera yang tampil untuk memecahkan monopoli tradisi perniagaan kaum bagi mewujudkan suasana daya persaingan sihat dalam sketsa transformasi Malaysia alaf baru.

Sesungguhnya yang baik itu datang daipada Allah swt dan yang buruk itu datang daripada kelemahan diri sendiri yang perlu diperbaiki dari semasa ke semasa. Wallahualam.

No comments: