Friday, December 30, 2011

IPTA Perlu Revolusi Baharu Untuk Bersaing Di Pentas Dunia.


Assalamualaikum...
Bismillahirahmanirahim....
Segala puji-pujian ke atas Allah swt dan junjungan Nabi Muhammad saw, Ammabaq...

   Prestij universiti-universiti dari Amerika Syarikat dan United Kingdom terus mendominasi arus pendidikan perdana dunia. Kedudukan University of Harvard, University of Cambridge dan University of Oxford terlalu jauh ke depan dalam kemajuan dan kecemerlangan pendidikan. Keciciran universiti di Malaysia dalam mengejar penarafan prestij 200 universiti terbaik di dunia terus kempunan. Revolusi baharu dalam idea pendidikan tertinggi negara amat perlu bagi menghebahkan kepada seluruh dunia bahawa kualiti pendidikan di negara kita setaraf dan sehebat dengan universiti terbaik dunia yang lain.

   Sistem pendidikan universiti di Malaysia perlu kepada revolusi baharu. Corak pendekatan pembelajaran perlu diubah secara keseluruhannya. Sistem pembelajaran di universiti tempatan sudah ketinggalan dan tidak kompetitif untuk berdaya saing bagi pecambahan ilmu berkelas dunia. Dunia moden sekarang ini menuntut kita sentiasa berusaha memajukan diri untuk mencipta kelainan yang boleh membawa perubahan kepada kemajuan. Kehebatan intelektual sekarang ini diukur daripada segi penguasaan ilmu secara mutlak yang boleh diadaptasi untuk kemajuan dunia.

   Universiti terbaik dunia akan menjadi idaman setiap pelajar terbaik daripada seluruh pelusuk dunia. Setiap pelajar yang terbaik akan mempercayai bahawa mereka akan menjadi produk terbaik untuk dunia dengan belajar di universiti terbaik dunia. Universiti-universiti di Malaysia perlu bersedia melakukan perubahan yang besar sekiranya mempunyai cita-cita untuk muncul hebat di pentas ilmu dunia. Sistem pendidikan kita masih belum berani mencuba sesuatu kelainan dalam inovasi pendekatan pembelajaran , sedangkan negara barat sentiasa berusaha untuk melakukan sesuatu yang baharu dalam mencetuskan idea-idea baru dalam pentas ilmu moden.

   Idea yang boleh kita fikirkan bersama untuk memartabatkan universiti tempatan ke mata dunia ialah dengan mengubah cara pendekatan pembelajaran di universiti daripada pembelajaran yang lebih berteraskan teori kepada pembelajaran yang lebih menjurus kepada penyelidikan, praktikal dan R&D . Pendekatan ini akan memberikan banyak manfaatnya kepada universiti dan pelajar. Pelajar akan dapat mengembangkan teori kepada praktikal. Daripada praktikal, pelajar akan membuat penambahbaikan  sesuatu kajian melalui penyelidikan dan seterusnya pelajar akan dapat membuat sesuatu inovasi baru dengan membuat R&D. Pendekatan ini akan lebih memberikan pelajar inspirasi dan motivasi untuk memajukan diri dalam pelajaran. Pendekatan sekarang hanya tertumpu kepada penguasaan teori yang membosankan yang menyebabkan pelajar hanya belajar  secara ala kadar untuk lulus periksa sahaja. Inilah menyebabkan pelajar kita kurang berkualiti di pasaran. Pelajar kita terlalu disogok dengan teori dan "assignment". Ada pelajar yang hebat dengan teori melalui "assignmentnya", tetapi tidak mendapat pendedahan tentang kemajuan kepada teori itu dalam realiti dunia yang sebenarnya.  Bagi pelajar yang malas pula, mereka hanya perlu "copy and paste" sahaja bagi menyiapkan  "assignment" untuk dihantar kepada pensyarah. Inilah standard universiti kita dan pelajar kita untuk bersaing dengan universiti terbaik dunia. 

   Pihak universiti perlu menyediakan platform untuk pelajar memajukan diri. Saya mengemukakan beberapa contoh yang boleh kita fikirkan bersama. Sebagai contohnya bagi fakulti perniagaan, pelajar-pelajar haruslah dikehendaki berniaga pada setiap penghujung semester sebagai syarat wajib lulus kursus semester. Mereka diberikan modal untuk berniaga. Pelajar haruslah merancang perniagaannya sendiri secara berkumpulan dan harus memberikan keuntungan kepada fakulti. Jika rugi, mereka harus mengulang semula. Pelajar akan dikira lulus dengan cemerlang sekiranya mampu membawa keuntungan yang berlipat kali gandanya kepada perniagaan mereka. Keuntungan itu akan disimpan dan akan  diberikan kepada mereka untuk memulakan pernigaaan selepas tamat pengajian. Ini akan membuka minda pelajar untuk berfikir bagaimana untuk menjadi seorang peniaga yang berjaya. Secara tak langsung ianya dapat memberikan pendedahan sebenar tentang dunia perniagaan di luar sana.

   Setiap fakulti harus mempunyai medan praktikal keilmuan dan pusat R&D khas untuk pelajar. Kejuruteraan, sains, arkitek, teknologi maklumat, geologi, sains sosial, sains sukan dan sebagainya perlu kepada kaedah pendekatan yang baru bagi merentasi sempadan ilmu moden tanpa batasan. Sejarah telah membuktikan bahawa setiap kehebatan yang ada pada setiap tamadun itu adalah kerana tamadun itu berada selangkah di hadapan dalam kemajuan ilmu berbanding dengan tamadun yang lain.

   Sesungguhnya yang baik itu datang daipada Allah swt dan yang buruk itu datang daripada kelemahan diri sendiri yang perlu diperbaiki dari semasa ke semasa. Wallahualam.

Wassalam.

No comments: