Thursday, November 21, 2013

Polis Unit Cawangan Komuniti - Mencegah Jenayah Lebih Baik Daripada Membanteras Jenayah

Assalamualaikum...Bismillahirahmanirahim....
Segala puji-pujian ke atas Allah swt dan junjungan Nabi Muhammad saw, Ammabaq...

    Saban hari sajian tentang keiblisan celaka jenayah terpampang di dada-dada akhbar tempatan dan media massa elektronik. Kegilaan perilaku si penjenayah ini nampaknya tiada lagi batasan dan belas kasihan sehingga sanggup melakukan apa sahaja sehingga tergamak membunuh seseorang demi matlamat nafsu iblisnya. Kebimbangan terhadap kemudaratan jenayah yang semakin tidak terkawal ini bagaikan tiada kesudahan kerana setiap masa akan ada sahaja si penjenayah-penjenayah ini akan muncul menonjolkan kejahatannya. Semakin lama semakin ramai lahirnya penjenayah di negara kita.Dari mana ianya datang? Kenapakah ramai yang menjadi penjenayah? Dua persoalan yang menjadi tanda tanya kita semua. Daripada sekecil-kecil jenayah sehingga ke sebesar-sebesarnya jenayah semakin menggila yang menjadi barah kepada kemakmuran Malaysia yang bertuah ini. Kehidupan kita sekarang ini akan sentiasa diselubungi kegelisahan tentang kemugkinan-kemungkinan jenayah yang akan berlaku disekeliling kita. Pelbagai kemungkinan yang tidak diingini akan berlaku secara tidak diduga kepada kita sekiranya gejala jenayah ini gagal dibendung dan ditangani. Tiada jaminan yang kita akan selamat dalam kemelut jenayah yang semakin menggila ini.

     Langkah kerajaan ingin mewujudkan pindaan Akta Pencegahan jenayah ( PCA ) 1956 hanyalah secubit harapan untuk mengurangkan kadar jenayah. Adakah ia jaminan kepada kita bahawa PCA dapat membasmi celaka jenayah secara mutlak? Sistem ini tidak lebih sekadar kepada langkah penambahbaikan kepada mengurangkan kadar jenyah, tetapi belum pasti menyelamatkan kita daripada bahaya jenayah. Penjenayah akan sentiasa lahir pada setiap masa di setiap tempat dari semasa ke semasa. Kehadiran penjenayah pada zaman moden ini ibarat "cendawan tumbuh selepas hujan". Belum sempat satu kes jenayah diselesaikan, akan timbul bermacam-macam kes jenayah yang lain lagi. Bagaimana jenayah hendak dikurangkan kalau terlalu ramai penjenayah yang muncul? Walaupun penjara kita penuh dengan penjenayah, tetapi di luar sana masih ramai si penyangak jenayah menunggu masa untuk meneruskan survival aktiviti mereka.

     Jenayah perlu dicegah daripada akar umbi. Membasmi jenayah hanya memenatkan kerana tidak akan ada kesudahannya. Didikan agama, masalah keluarga, kesempitan hidup dan sistem pendidikan yang tidak kena caranya adalah penyumbang terbesar kepada kemelut permasalahan jenayah ini. Selagi perkara ini tidak diperbetulkan maka selagi itulah masalah ini akan terus berterusan. Sampai bila-bila pun perkara ini tiada kesudahannya dan indeks jenayah akan terus meningkat pada setiap masa.

      Cara yang praktikal bagi mencegah kepada peningkatan kes jenayah di negara kita ialah dengan memperkenalkan "Polis Komuniti". Polis Komuniti ialah satu pasukan polis untuk mencegah jenayah daripada berlaku dengan mendampingi komuniti masyarakat. Pasukan ini berada dalam linkungan komuniti masyarakat untuk mengetahui permasalahan sosial masyarakat tentang perkara-perkara yang boleh mengundang kepada masyarakat. Pasukan ini juga akan berdampingan dengan masyarakat setempat untuk mengumpul maklumat tentang sarang-sarang jenayah yang wujud sisekeliling masyarakat. Secara tidak langsung Polis Komuniti ini akan membentuk kerjasama dengan masyarakat mengesan dan mencegah jenayah dengan lebih cepat, cekap dan efisyen daripada peringkat awal lagi sebelum ianya merebak menjadi kecelakaan jenayah. Polis Komuniti ini akan mewujudkan interaksi dan hubungan dua hala dengan masyarakat dalam mengambil berat tentang masalah jenayah di kawasan komuniti masyarakat itu sendiri.

   Peranan Polis Komuniti ini juga ialah mengajak manusia kearah kebaikan. Fungsinya lagi sebagai pasukan yang menyampaikan dakwah kepada masyarakat setempat untuk menyeru manusia taat pada perintah Allah s.w.t dan meninggalkan perkara mungkar yang ditegah oleh-Nya. Pasukan Polis ini akan menganjurkan kuliah agama secara mingguan atau bulanan untuk mengajak manusia dekat kepada Allah s.w.t. Aktiviti kemasyarakatan seperti hari keluarga, sukaneka, perlawanan bola sepak dan aktiviti lain lagi diadakan untuk masyarakat setempat berhimpun beramai-ramai bertemu mata bagi mewujudkan suasana muhibah disamping bersembang tentang ketenteraman awan di kawasan mereka. Peruntukan hendaklah disediakan untuk tujuan jamuan makan bagi menceriakan lagi majlis kuliah dan aktiviti yang dijalankan untuk menarik perhatian hadirin masyarakat.

   Pasukan Polis kita sekarang ini lebih menjerumus kepada membasmi jenayah. Setelah berlaku jenayah barulah mereka akan bertindak. Mekanisme ini adalah konservatif. Kita perlu kepada satu mekanisme yang baharu. Polis Komuniti ini adalah satu alternatif kepada mencegah jenayah pada peringkat awal daripada merebak dengan lebih teruk. Mendekati, menyelami dan memahami masalah sosial komuniti masyarakat adalah langkah pencegahan awal menangani masalah jenayah yang wujud dalam masyarakat sekeliling. Kaedah ini akan membantu mengurangkan masalah jenayah yang begitu serius pada masa sekarang ini.

    Kita perlukan perubahan kepada setiap permasalahan dengan idea inovatif yang lebih praktikal dan dinamik. Sebenarnya agama Islam telah memberitahu kepada kita semua bahawa masalah jenayah yang wujud ini berlaku kerana manusia itu tidak beriman kepada Allah s.w.t. Agama Islam itu juga telah memberi jalan kepada kita bagaimana untuk menangani masalah jenayah itu sendiri. Bertaqwa dan beriman kepada Allah s.w.t maka tiadalah jenayah yang akan berlaku. Pasukan Polis Komuniti hadir dalam kumpulan masyarakat untuk mendengar, berinteraksi, berkongsi maklumat dan berdakwah kepada masyarakat untuk sama-sama mencegah jenayah. Alangkah indahnya bila masyarakat dan polis bekerjasama menangani segala bentuk masalah jenayah yang ada. Barulah " yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing" dan yang susah menjadi senang dengan mencegah sebelum padah.

Mencegah itu lebih baik daripada merawat.
      
     Sesungguhnya yang baik itu datang daipada Allah swt dan yang buruk itu datang daripada kelemahan diri sendiri yang perlu diperbaiki dari semasa ke semasa. Wallahualam.