Wednesday, December 28, 2011

Sekolah Perniagaan Asas Kepada Permulaan Transformasi Pembangunan Ekonomi Negara


Assalamualaikum...
Bismillahirahmanirahim....
Segala puji-pujian ke atas Allah swt dan junjungan Nabi Muhammad saw, Ammabaq...

     Transformasi pembangunan ekonomi adalah merupakan  satu cita-cita besar negara dalam agenda pembaharuan ekonomi negara. Jika matlamat ini mampu dicapai, kemakmuran ekonomi negara akan dapat dikecapi oleh seluruh rakyat jelata. Rakyat akan dapat merasai kesenangan hidup dengan keupayaan menikmati skala pendapatan seisi rumah yang tinggi. Tetapi untuk merealisasikan cita-cita ini memerlukan sedikit idea yang bijak sebagai penjana utama ke arah kita membuka tirai transformasi ekonomi dengan acuan kita sendiri. Selain mengharapkan pelaburan asing, kita juga perlu mencari satu mekanisme yang kreatif untuk merancakkan lagi arus pembangunan ekonomi.

    Idea kepada asas transformasi pembangunan ekonomi ini ialah dengan mewujudkan Sekolah Perniagaan. Sekolah Perniagaan ini adalah merupakan satu platform terpenting dalam melahirkan generasi Malaysia yang minat berniaga. Perniagaan adalah satu indikator yang terpenting dalam menentukan taraf sesebuah negara itu dalam mengejar matlamat kuasa negara maju. Tapak yang kukuh adalah amat penting sebagai permulaan kepada pembinaan struktur pembangunan ekonomi negara, dan Sekolah Perniagaan inilah sebenarnya kekuatan kita dalam menggerakkan negara kepada sebuah negara berpendapatan tinggi.

    Berniaga adalah 9/10 punca rezeki. Ramai remaja kita yang tidak ditanam dengan minat berniaga, apatah lagi mendapat pendedahan tentang ilmu dunia perniagaan. Perkara inilah yang menyebabkan kaum bumiputera khususnya lebih suka makan gaji daripada berniaga. Ini menjadikan produk bumiputera tidak begitu kompetitif untuk menjadi bangsa yang maju. Sekolah perniagaan ini haruslah bermula daripada seawal usia 13 tahun. Pengisian pelajar diberikan keutamaan kepada remaja yang lemah dan sederhana pencapaiannya dalam akademik. Mereka ini harus diberikan asas perniagaan dan juga ilmu tentang perniagan. Pada sesi persekolahan waktu pagi mereka bersekolah seperti biasa. Selepas waktu persekolahan mereka harus keluar berniaga. Mereka harus berniaga dan harus mendapatkan keuntungan. Binalah Sekolah Perniagaan ini  di tepi jalan utama dan di sepanjang jalan utama pula dibina gerai-gerai jualan sebagai pusat perniagaan yang diuruskan oleh para pelajar. Wujudkan aktiviti perniagaan dan galakkan mereka supaya bersaing secara sihat untuk mencapai keuntungan maksimun. Keuntungan yang diperolehi akan dibahagi antara pihak sekolah dan pelajar. 
                
     Pembahagian keuntungan itu adalah satu insentif untuk menaikkan lagi semangat mereka, tetapi keuntungan itu perlu disimpan oleh pihak sekolah sebagai modal untuk mereka berniaga selepas mereka tamat pengajian. Mereka perlu dilatih untuk  berniaga dengan gigih sehinggakan mereka tidak mempunyai masa untuk berehat atau tidur. Cara ini akan melatih mereka sentiasa bekerja dengan lebih kuat sampai bila-bila. Mereka juga perlu ditarbiyahkan untuk menjadi seorang peniaga Islam yang beriman. Pasti mereka akan menjadi seorang peniaga yang baik dan akan dapat membantu melahirkan peniaga di bawahnya pula. 
              
     Secara kesimpulannya remaja dan belia kita kini ramai yang tidak mempunyai arah tuju. Pemikiran mereka masih lagi tertutup dan tidak berinspirasi dalam menyahut cabaran kerajaan untuk menuju sebuah negara maju. Kita perlu ubah sikap mereka dengan membantu mereka terlebih dahulu. Kita perlu sediakan platform untuk mereka semua. Kalau bukan kita yang mengubah mereka, mereka tidak akan berubah. Bila mereka tidak berubah, negara pun sukar untuk berubah menjadi sebuah negara yang maju. Kita perlu berbuat sesuatu untuk menjadikan mereka berbakat kerana setiap insan ciptaan Allah swt pasti mempunyai bakat yang tersendiri. Tetapi malangnya, mereka tidak dapat mengesan bakat yang ada apatah lagi menjadikan bakat mereka  sebagai satu aset kepada diri mereka sendiri.
   
Sesungguhnya yang baik itu datang daipada Allah swt dan yang buruk itu datang daripada kelemahan diri sendiri yang perlu diperbaiki dari semasa ke semasa. Wallahualam.


No comments: