Wednesday, October 21, 2015

PdP Abad Ke-21

Perkongsian ilmu Allah s.w.t untuk kebaikan dan manfaat bersama.

Monday, February 16, 2015

Sistem Penerbangan Islam - Untung di Dunia,Pahala di Akhirat.

Assalamualaikum...Bismillahirahmanirahim....Segala puji-pujian ke atas Allah swt dan junjungan Nabi Muhammad saw, Ammabaq...

     Perhubungan udara merentasi awan nan biru dari satu benua ke satu benua yang lain melalui penerbangan kapal terbang adalah satu keperluan wajib kepada pergerakan dunia global tanpa sempadan. Sejarah penerbangan makhluk bumi ke langit biru tercetus pada 17 Disember 1903, di landasan pasir yang terpencil di pantai North Carolina. Dalam keadaan angin bertiup kencang, Orville dan Wilbur Wright bersaudara, melakukan penerbangan meninggalkan landasan dengan pesawat terbang bermesin untuk pertama kali dalam sejarah manusia. Dunia penerbangan selepas itu mengalami perkembangan pesat melalui fasa revolusi penerbangan yang membawa kepada penerbangan komersial yang menguntungkan. Di setiap pelusuk negara di dunia ini pasti mempunyai syarikat penerbangan dan lapangan terbang yang sendiri untuk kemantapan sistem pentadbiran dan ekonomi negara.

     Tragedi hitam misteri MH370 dan pembunuhan bangsat krew dan penumpang MH17 oleh manusia berhati dajjal serta malapetaka pesawat Airbus Air Asia QZ8501 telah mengoncang industri penebangan komersial negara. Tamparan ini bukan sesuatu perkara yang senang untuk luput dari benak fikiran manusia bumi, tetapi sejarah hitam ini akan terus terukir dalam lipatan sejarah penerbangan dunia buat selamanya. Ianya akan menjadi satu fakta yang akan dicanang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sebagai modal untuk menggeruhkan kestabilan industri penerbangan negara. Secara tidak langsung, ianya akan memudaratkan perniagaan industri penerbangan kita daripada segi kepercayaan tentang kewibawaan syarikat penerbangan kita dalam mengendalikan industri penerbangan ini. Keuntungan pendapatan akan tergugat dan merundum. Bukan sesuatu yang senang untuk mengembalikan keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap usaha-usaha pemulihan yang telah atau bakal diambil oleh pihak syarikat penerbangan dalam menambat semula hati masyarakat terhadap kebolehan, keupayaan dan kemampuan MAS atau Air Asia dalam mentadbir urus sistem penebangan komersial. Ianya memerlukan usaha yang berterusan dengan pengenalan idea-idea yang baharu dan segar dalam era kebangkitan semula MAS khususnya dan Air Asia amnya. Bukan semudah yang kita sangka, tempoh masanya begitu perit untuk dihitung harinya dalam usaha mengembalikan semula sinar yang telah pudar itu.

     Salah satu idea yang cukup realistik untuk diketengahkan dalam segenap usaha dan cara kita mengembalikan semula potensi MAS dan Air Asia semegah seperti dulu kala ialah dengan memperkenalkan "Sistem Penerbangan Islam". Percayalah, ini adalah satu-satunya idea yang belum wujud dalam sejarah penebangan dunia. Sistem penerbangan sekarang ini bolehlah dikatakan semuanya bersifat konvensional. Jadi, sekarang adalah masa yang paling sesuai untuk kita memperkenalkan idea ini di mata dunia dan kita adalah pelopornya. Sudah tiba masanya kita perlu kepada sesuatu pendekatan yang baharu dan sistem penerbangnan konvensional yang ada sekarang ini adalah ketinggalan zaman. Trend sajian arak, pramugari berpakaian menjolok mata, cara pengucapan kapten kapal, cara bicara krew kapal dan hiburan atas kapal yang kosong rohnya adalah sudah lapuk dan tidak mendatangkan kebaikan malah banyak mengundang lara dan maksiat kepada pencipta alam yang maha esa. Solusinya ada pada "Sistem Penebangan Islam" yang akan lebih memberikan ketenangan, keharmonian, kedamaian dan keselesaan kepada para penumpang, yang mana nanti akan memberikan sesuatu kelainan dalam soal kepuasan penumpang.

     Lihat sahaja dahulu yang mana sistem perbankan kita hanya dipelopori oleh sistem konvensional. Tetapi semenjak diwujudkan sistem perbankan Islam, ianya telah menarik ramai masyarakat Islam khususnya untuk beralih kepada sistem perbankan Islam yang lebih praktikal sifatnya. Bukan setakat itu saja, masyarakat bukan Islam pun ada juga yang beralih pandangan tentang kesedaran mereka terhadap realiti sistem perbankan Islam yang lebih relevan tolenrasinya dalam erti perbankan yang sebenarnya. Mengapa tidak kita mengambil pendekatan yang serupa ini ke dalam industri penerbangan kita dengan mewujudkan "Sistem Penerbangan Islam" sebagai trend baharu dalam perkhidmatan industri penerbangan untuk menarik lebih ramai pelanggan di luar sana untuk mencuba sesuatu yang baharu disamping kita menanam modal untuk belian saham di akhirat. Pelan seperti ini adalah sebahagian dakwah kita untuk menyebarkan syiar Islam. Allahuakbar!!!

     Di sini saya sebagai hamba Allah swt yang maha lemah ingin melontarkan idea bagaimanakah cara kita untuk menerapkan ciri-ciri "Sistem Penerbangan Islam" di dalam kita memperkenalkan produk penerbangan yang berteraskan Islam terutamanya yang melibatkan perkhidmatan di dalam pesawat. Berikut adalah idea kepada cadangan produk perkhidmatan "Sistem Penerbangan Islam" ;

i. Ucapan "Assalamualaikum"

    Mengalu-alukan kedatangan para penumpang dengan ucapan "Assalamualaikum" oleh  kapten kapal ( sekiranya muslim ) atau oleh pembantu kapten ( sekiranya muslim ) atau      pun juga oleh ketua pramugara / pramugari.

ii. Bacaan doa naik kenderaan

   Bacaan doa kenderaan berserta terjemahan dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris bagi memulakan perjalanan dan ketua pramugara atau pramugari meminta para penumpang menadah tangan untuk menghayati serta mengaminkan doa disamping memohon perlindungan Allah swt supaya segala perjalanan yang bakal ditempuhi selamat dan dilindungi di bawah payung rahmat Allah swt. Bacaan doa ini boleh diset secara automatik oleh perakam audio di dalam pesawat.  Perkara ini secara tidak langsung mendidik hamba Allah untuk memohon perlindungan daripada Allah swt  disamping mengajar kita semua bahawa kita adalah milik Allah swt yang perlu kepada pertolongan-Nya dan restu-Nya yang maha esa. 

iii. Pemakaian Anak Kapal yang Menutup Aurat

   Bab etika pemakaian adalah satu isu yang cukup penting dalam kita mencari keredhaan Allah swt.Hal ini adalah suatu perkara yang menggambarkan kepada identiti kita. Islamkah kita atau tidak? Sehingga kini peragaan pakaian oleh pramugari kita amat menyedihkan, seoleh kita tidak takut kepada peraturan Allah swt yang menyuruh kita supaya bila berpakaian mestilah menutup aurat. Imej seksi pramugari kita dengan mengenakan kebaya yang menonjolkan bentuk tubuh badan dan pemakaian mini skirt oleh pramugari bukan Islam adalah sesuatu yang tidak sepatutnya diteruskan lagi dan mesti diubah dengan segera. Agenda imej seksi yang cuba kita tiru daripada budaya Barat sudah tidak lagi rasional dikala ini, disaat syiar Islam kini kian menapak dengan megahnya berkembang pesat di Eropah khususnya. Sepatutnya sekarang ini adalah masa yang terbaik untuk kita membawa imej Islam ke mata pengetahuan umat dunia, betapa indahnya ajaran Islam itu. Ini adalah sebahagian usaha dakwah yang kecil kita lihat pada pandangan mata kasar, tetapi begitu besar maknanya dalam memberikan kesan pengaruh kepada kesucian agama Islam itu. Setiap kakitangan MAS amnya akan mendapat saham pahala yang besar dividennya di akhirat nanti. 

   Pramugari kita haruslah dibaluti dengan keindahan pakaian yang menyejukkan mata memandang. Pakaialah pakaian baju kurung beserta dengan hijabnya. Sungguh indah ciptaan Allah swt itu apabila pakaian indah yang menutup aurat dipakai pula oleh si wanita yang ayu jelita. Sajian jolokan mata di dalam pesawat untuk tujuan menarik perhatian penumpang adalah sesuatu yang lapuk dan sudah tidak relevan lagi. Penumpang sekarang sudah cerdik dan berilmu. Mereka hanya mahukan sesuatu yang boleh menenangkan minda dan jiwa mereka yang berkecamuk dengan kesibukan hidup yang tiada kesudahannya. Mereka ini memerlukan terapi jiwa yang boleh menyegarkan semangat sanubari mereka itu semasa di dalam pesawat. Jolokan tayangan goyangan pinggul daripada pemakaian ketat hanya akan merosakkan lagi jiwa yang kacau dan hanya nafsu jahat sahaja yang menginginkannya. Semua itu hanya mengundang kepada maksiat dan sebenarnya kita mencari dosa daripada redha Allah s.w.t. Secara tidak langsung, seluruh kakitangan yang bekerja dengan syarikat penerbangan terpalit dengan saham dosanya. 

iii. Bacaan Ayat Suci Al-Quran Dalam Pesawat

   Untuk memberikan lagi nilai tambah keberkatan Allah swt, hendaklah kita mengalunkan bacaan ayat suci Al-Quran di dalam pesawat secara rakaman audio. Bacaan itu biarlah secara perlahan seperti ibarat tiupan angin yang mendayu menusuk halwa telinga sebagai pengubat terapi jiwa. Situasi ini akan membangkitkan ketenangan jiwa yang membuatkan penumpang merasakan jiwa mereka terasa aman dan damai.

iv. Sambutan Memuliakan Hari Jumaat.
   Pada setiap hari Jumaat pihak syarikat penerbangan mestilah membuat sedikit kelainan berbanding dengan hari-hari yang lain. Pramugaranya hendaklah mengenakan pakaian Melayu yang bersongkok atau berjubah dan si cantik jelita pramugarinya pula hendaklah mengenakan jubah membaluti kecantikannya.

  Selain itu juga pihak syarikat penerbangan bolehlah juga mengadakan kuliah tazkirah sekali dalam sebulan dengan menjemput para ustaz dan ustazah untuk memberikan tazkirah ringkas kepada penumpang dan anak kapal dalam kita mencari keredhaan Allah swt.

 Pada hari Jumaat yang mulia itu juga pihak syarikat penerbangan juga boleh menyedekahkan sedikit makanan secara percuma kepada penumpang dalam menambat hati para penumpang disamping mencari pahala yang besar kepada kakitangan syarikat dengan mengharapkan Allah swt akan melipat kali gandakan lagi margin keuntungan perolehan syarikat. Seelok-eloknya elakkan jadual penerbangan pada waktu solat fardhu Jumaat dalam lingkungan jam 12.00 - 2.30 bagi membolehkan anak-anak kapal dan juga para penumpang muslimin untuk menunaikan solat fadhu Jumaat. Jangan disebabkan oleh jadual kita, maka ramai yang tidak dapat menunaikan soat fardhu Jumaat. Ciptakanlah ruang waktu untuk para muslimin mengerjakan tanggungjawabnya menunaikan solat fardhu jumaat.

  Beralihlah segala paradigma kita sebelum ini yang terlalu meletakkan sistem barat sebagai penanda aras dalam cara kita berekonomi. Anggapan yang selalu menjadi kebangaan kita semenjak dulu lagi yang mengagungkan sistem barat tidak pernah terpadam dalam hidup masyarakat kita. Persepsi kita bahawa sistem barat adalah lebih maju, moden dan elegen begitu menjadi ikutan kita sehinggakan kita menidakkan kehebatan sistem Islam yang nyata jauh lebih mempunyai hikmah dalam tatacara kita menguruskan pentadbiran ekonomi. Lihatlah apa yang telah berlaku kepada arena penerbangan kita sekarang ini, akibat kita alpa kepada syariat Allah s.w.t, maka diujinya kita dengan sedikit musibah yang secara tidak langsung telah menjejaskan rekod kecemerlangan kita dalam industri penerbangan.Yakinlah kepada Allah s.w.t bahawa rezeki adalah datang daripada-Nya. Allah s.w.t bukan sahaja memberikan rezeki yang melimpah-ruah, tetapi melalui rezeki-nya itu juga terselit seribu hikmah yang mampu mencairkan sentuh rasa hati manusia melalui sistem-sistem Islam yang telah ditunjuk ajar oleh manusia agung Nabi Muhammad s.a.w.

  Sudah sampai ketikanya, MAS terutamanya mengubah landskap pengoperasiannya dalam mengurus tadbir sistem pentadbiran industri penerbangan negara. Jikalau MAS berani mengubah apa yang ada sekarang ini kepada satu sistem penerbangan Islam, percayalah bahawasanya MAS telah mencetuskan satu fenomena yang luar biasa dalam industri penerbangan dunia. Revolusi idea ini pasti akan menarik perhatian syarikat penerbangan lain untuk berkongsi pengalaman dan MAS akan menjadi rujukan kepada syarikat penerbangan antarabangsa yang lain. Bukan setakat MAS memperolehi keuntungan dalam perniagaan, tetapi apa yang lebih penting ialah MAS dan kakitangannya akan mendapat keredhaan serta keberkatan daripada Allah s.w.t. Untung yang ada berkat tidak akan sama dengan untung yang tiada berkat kerana untung yang ada keberkatan akan memberikan hikmah kepada erti  sebenar sebuah kehidupan dan untung yang tiada berkat umpama tanah yang luas tanpa tanaman.


Sesungguhnya yang baik itu datang daipada Allah swt dan yang buruk itu datang daripada kelemahan diri sendiri yang perlu diperbaiki dari semasa ke semasa. Wallahualam.

   

     

     





Tuesday, January 27, 2015

FELDA Alaf Baru - Perlu Wujud Semula Untuk Melonjakkan Ekonomi Bumiputera dan Negara.


Assalamualaikum...Bismillahirahmanirahim....Segala puji-pujian ke atas Allah swt dan junjungan Nabi Muhammad saw, Ammabaq...

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP) atau dalam bahasa Inggerisnya "Federal Land Development Authority" (FELDA) adalah satu agensi kerajaan Malaysia yang menangani penempatan semula penduduk luar bandar yang miskin ke kawasan-kawasan yang baru dibangun agar meningkatkan taraf ekonomi mereka. Itulah istilah sebenarnya dasar kewujudan FELDA bagi  memartabatkan ekonomi  negara yang mana sehingga kini sumbangannya amat besar kepada ekonomi negara.

FELDA diasaskan pada 1 Julai 1956 apabila Akta Pembangunan Tanah (1956) dikuatkuasakan. Modal permulaannya RM10 juta, dan petempatan sulung yang terdiri daripada 16.2 kilometer persegi pokok getah dibuka di Ayer Lanas pada 1957. Pembukaan FELDA giat diteroka pembukaannya sekitar tahun 60an, 70an dan 80an. Pembukaannya begitu memberikan manfaat kepada jaminan keberlangsungan mata pencarian hidup bagi peserta peneroka FELDA. Tanah-tanah yang kosong tidak dibiarkan dan dimanfaatkan dengan sebaiknya dengan adanya FELDA ini. Kini lihat hasil daripada kewujudan FELDA ini telah memberikan rezeki yang melimpah ruah kepada para penerokanya.

Tetapi, kesinambungan pembukaan tanah baru FELDA itu nampaknya sudah terhenti. Tiada lagi kedengaran tanah baharu diteroka. Tiada lagi juga kedengaran pengambilan generasi baru peneroka FELDA, sedangkan ianya amat bermanfaat kepada pembangunan ekonomi negara. Disaat ekonomi negara yang sedikit goncang konsistensi kemekarannya ini, pembukaan tanah rancangan FELDA yang baharu adalah jawapan yang terbaik kepada pemangkin ekonomi negara kita. Pembukaan tanah rancangan FELDA yang baharu akan berupaya mengubah nasib penduduk Malaysia yang miskin kepada satu usaha untuk mereka mengubah nasib hidup mereka kepada satu tahap kehidupan yang  sederhana tetapi selesa.

Banyak kepincangan yang berlaku di dalam Negara akan dapat ditenangkan bagi segala tekanan yang ada sekarang ini, baik tekanan dari sudut sosial, budaya, ekonomi dan peradabannya dengan mewujudkan kembali penempatan tanah rancangan FELDA yang baru ini. Segala macam perkara buruk yang berlaku di luar sana terutamanya perilaku yang memualkan daripada generasi baru kita adalah kerana mereka tiada arah yang pasti untuk dituju dan kerajaan gagal untuk membina satu platform destinasi yang benar-benar maha hebat untuk dituju. Dan…..inilah jawapan yang kita cari selama ini yang tersembunyi khazanahnya yang semakin kita lupakan dan pinggirkan. Penempatan baharu dengan pembukaan tanah rancangan tanah baharu ini memberikan nafas segar bagi mengembalikan potensi belia negara dalam menterjemahkan wawasan falsafah mereka  untuk membantu membangunkan ekonomi negara.

FELDA generasi baru mestilah berwajah baharu dalam ruang lingkup trend terkini yang dapat memenuhi citarasa generasi masa kini. FELDA baharulah ini mestilah moden dan trendy. Konsepnya lain tetapi matlamatnya sama bagi menarik minat generasi kini untuk menyertai FELDA. Antara idea yang boleh diketengahkn untuk mewujudkan semula FELDA baharu ialah dengan mengabungjalinkan elemen-elemen baru dalam konsep FELDA ini. FELDA baharu ini mestilah berasaskan kepada “Bandar Teknologi Pertanian” yang mengabungkan elemen pertanian moden dengan perniagaan, keusahawanan, industri dan teknologi maklumat. FELDA seperti ini akan menzahirkan kepada satu bentuk potensi pertanian moden yang mampu mengangkat martabat sektor pertanian sebagai sesuatu yang menguntungkan dan akan tercapailah hasrat bagi sebuah makna “Pertanian itu adalah Perniagaan”.

Kawasan penempatannya mestilah didirikan dengan sebuah rumah yang selesa yang mempunyai 4 bilik sesuai dengan taraf hidup makhluk bumi sekarang ini. Setiap peneroka diberikan keluasan tanah yang bersesuaian untuk diusahakan. Kaedah pertanian moden harus diperkenalkan dalam konsep FELDA baharu ini untuk menjadikan generasi baru sebagai petani moden. Mereka haruslah didedahkan dengan kaedah-kaedah pertanian moden yang terkini untuk menanam asas jati tentang persepsi jiwa bahawa pertanian moden mampu memberikan hasil yang lumayan, disamping mengikis paradigma dajal yang menebal dalam diri bahawa pertanian adalah kerjaya marhain lagi hina.


Bidang pertanian adalah satu benteng ampuh untuk sesebuah negara bersiap siaga dalam menghadapi sebarang musibah bencana yang melanda. Bencana alam, kecelakaan peperangan, sekatan ekonomi dan segala macam bencana lagi. Pertanian adalah penyelamat bagi meneruskan sisa-sisa keberlangsungan hidup kerana perut manusia perlu diisi makanan untuk terus hidup. Banyak mana pun minyak di lautan, sebanyak mana pun kilang industri yang kamu ada, sehebat mana pun pelabuhan yang kamu miliki dan segagah badang sekalipun angkatan bala tentera kamu, tetapi bila tiada makanan maka bagaimana untuk kamu meneruskan survival hidup. Jadi, bidang pertanian adalah keperluan yang utama sebenarnya tetapi dipandang dingin dengan selekeh-lekehnya oleh umat manusia muda sekarang ini yang mana hanya tahu dalam sekelip mata perut mereka kenyang. Sudah tiba masanya kerajaan memperkasakan bidang pertanian dengan menyusun strategi yang visi dan misinya kearah satu pandangan dimensi yang baru. Maka, FELDA alaf baru ada satu-satunya jawapan kepada persoalan misteri itu.

Sesungguhnya yang baik itu datang daipada Allah swt dan yang buruk itu datang daripada kelemahan diri sendiri yang perlu diperbaiki dari semasa ke semasa. Wallahualam.