Tuesday, December 27, 2011

Pembangunan Pendidikan Awal Teras Kegemilangan Masa Depan Negara

Assalamualaikum...Bismillahirahmanirahim....
Segala puji-pujian ke atas Allah swt dan junjungan Nabi Muhammad saw, Ammabaq...



Pendidikan adalah keperluan wajib kepada tamadun manusia. Penguasaan pendidikan yang lemah, kadar buta huruf yang tinggi dan sistem pendidikan yang tidak sesuai mengikut peredaran masa menjadi intipati utama kepada kemunduran ekonomi,peradaban sosial,kebudayaan dan intelektual bagi sesebuah tamadun bangsa itu.

   Melihat kepada situasi negara kita sendiri, kadar buta huruf itu masih ada lagi, wal hal kita sudah membangun begitu pesat. Masih ramai lagi murid yang tidak tahu membaca dan menulis apabila berada di tahun satu, terutamanya di luar bandar. Ini memberikan gambaran bahawa murid-murid ini tidak diberikan pendedahan ilmu asas tentang membaca dan menulis di rumah oleh keluarga mereka. Antara faktor kepada fenomena ini ialah keluarga yang miskin,keluarga yang tidak mementingkan pelajaran,keluarga yang terumbang-ambing dan memang keluarga itu keluarga yang buta huruf. Apabila tidak mendapat pendidikan secara asas di rumah, maka menjadi satu kesusahan kepada murid itu sendiri apabila melangkah ke alam persekolahan. Guru-guru terpaksa bekerja keras untuk mengajar mereka mengenal huruf. Proses pembelajaran ini memakan masa yang lama dan ada juga yang masih belum boleh membaca walaupun berada di tahap dua persekolahan. Keadaan ini amat menyedihkan kepada murid-murid yang tidak bersalah ini yang menjadi mangsa kepada permasalahan ini.

   Saya mencadangkan  agar kerajaan khususnya di bawah  Kementerian Pelajaran membuat satu revolusi baru di dalam dunia pendidikan dengan mengambil satu inisiatif menjadikan pendidikan awal sebagai dasar utama kepada kecemerlangan pendidikan. Pihak kementerian haruslah mewujudkan satu badan khas yang bertanggungjawab melaksanakan peranan menghapuskan masalah  buta huruf kanak-kanak. 

   Idea yang paling praktikal yang boleh dilaksanakan ialah dengan mencari kanak-kanak seawal 4 tahun yang terbiar yang bermaksud kanak-kanak yang tidak diberikan kepentingan pendidikan akibat oleh tekanan hidup keluarga kerana kemiskinan , keluarga yang tidak sedar tentang kepentingan pendidikan  dan keluarga yang bermasalah khususnya di luar bandar. Kanak-kanak ini haruslah ditempatkan di satu sekolah khusus yang berasrama penuh dan kanak-kanak ini dijadikan sebagai anak angkat kementerian, barulah kanak-kanak ini akan dapat mengenal apa itu A, B,C dan 1,2,3. Hidup mereka juga akan pasti lebih teratur, kemas, bersih dan yang penting mereka mempunyai cita-cita.

   Dunia pendidikan hari ini haruslah mempunyai inovasi yang pintar untuk mengorak langkah dalam membantu negara mencapai negara maju. Harus diingat bahawa pendidikan adalah teras utama kepada jatuh bangunnya sesebuah tamadun itu. Bangsa yang maju ialah bangsa yang cerdik. Semoga dunia pendidikan tanah air akan terus berkembang dengan pesat dengan idea-idea yang baharu dan perancangan-perancangan yang hebat dalam menjadi nadi utama kepada penggerak kemajuan negara.

Sesungguhnya yang baik itu datang daipada Allah swt dan yang buruk itu datang daripada kelemahan diri sendiri yang perlu diperbaiki dari semasa ke semasa. Wallahualam.



No comments: