Tuesday, January 3, 2012

Sistem Pelajaran Pasca Moden Perlu Lebih Realistik

Assalamualaikum...Bismillahirahmanirahim....Segala puji-pujian ke atas Allah swt dan junjungan Nabi Muhammad saw, Ammabaq..
   Pendidikan negara telah berkembang pesat mengharungi pelbagai cabaran berdekad lamanya selepas kemerdekaan. Pelbagai isu, hala tuju dan  pembaharuan  telah ditempuhi dengan penuh ranjau, onak duri, pahit dan manis. Kejayaan pendidikan negara telah berjaya membantu membangunkan perkembangan kemajuan sosio ekonomi Malaysia. Kemajuan yang kita nikmati sekarang ini adalah hasil daripada kepekaan dan kesedaran kita terhadap kepentingan pendidikan. Pendidikan adalah satu wadah reformasi minda untuk manusia menjadi hebat dan bijak berakal untuk mengurus tadbir memajukan alam semesta milik Allah s.w.t.

   Perkembangan dunia moden yang semakin hari semakin berkembang pesat menuntut keghairahan pengkemaskinian revolusi sistem pendidikan yang"up to date" bagi memenuhi keperluan peredaran masa untuk melahirkan manusia yang berkemahiran tinggi. Kita perlu mengejar negara yang maju untuk menjadi setanding negara. Jikalau tidak, kita akan sentiasa terus menjadi pelanggan yang setia kepada mereka dengan membelanjakan wang untuk menikmati kemajuan hidup. Kita harus terlibat sama menjadi pengeluar untuk menyumbangkan buah tangan kita kepada keperluan sebuah dunia yang moden.

   Sistem pendidikan negara yang ada sekarang kurang memberi cabaran kepada nafsu dunia moden. Pendidikan sekarang boleh diistilahkan sebagai pendidikan kapitalis kerana murid yang pandai akan terus pandai dan maju, manakala murid yang lemah pula akan terus ketinggalan dalam  arus pembangunan dunia moden. Kebanyakkan masalah sosial yang timbul pada hari ini di kalangan muda mudi kita adalah disebabkan oleh pengkelasan marhain dalam standard pendidikan. Pengajaran di setiap sekolah adalah sama, tetapi tahap penguasaan mereka adalah berbeza. Murid yang pandai akan terus maju ke hadapan kerana mereka mempunyai minat terhadap pelajaran, tetapi berbeza pula dengan murid yang lemah. Mereka akan terus ketinggalan kerana mereka bosan dan tidak berminat terhadap pelajaran. Masalah inilah yang menimbulkan kecelaruan sikap murid yang membawa kepada permasalahan displin di sekolah dan menjadi manusia liar di luar sekolah.

   Wadah pendidikan kita perlu kepada satu sistem pendidikan yang terkini untuk kemakmuran dan kemajuan sejagat. Sistem pendidikan perlu lebih realistik ke arah membentuk modal insan yang berintelektual tanpa adanya sempadan pengkelasan murid. Setiap murid yang dilahirkan di sekolah-sekolah semuanya mempunyai satu matlamat iaitu bersatu menuju maju.

   Idea yang realistik yang boleh difikirkan bersama ialah mengubah sistem pendidikan yang ada sekarang. Kaedahnya ialah murid yang pandai akan terus diberi pengayaan dengan pembelajaran harian. Manakala murid yang lemah pula akan hanya diajar subjek yang penting sahaja seperti subjek Bahasa Melayu, Matematik dan Pendidikan Islam sahaja. Murid yang lemah ini akan lebih ditumpukan kepada kemahiran vokasional. Mereka perlu diberi kepada ilmu kemahiran hidup. Kita harus beri kepada mereka penguasaan vokasional berbanding dengan kawan mereka yang pandai yang akan kita beri mereka kepada penguasaan ilmiah. Hal ini tidak akan lagi mengundang perasaan rendah diri di sekolah. Biasanya di sekolah, murid-murid lemah selalu berkata kepada diri sendiri dan kepada rakan yang lebih pandai dengan ungkapan "kau tak apalah sebab kau pandai, aku ni bodoh".Kita tidak mahu situasi ini wujud. Apa yang kita mahu ialah semua murid akan merasakan bahawa mereka semua ini amat berguna kepada masa depan negara.

   Revolusi pendidikan ini telah lama dipraktikkan di negara-negara yang terkenal dengan kemahiran reka ciptanya seperti Korea, Jepun, Jerman dan Perancis. Kita tidak mahu hanya menjadi penumpang kepada kecanggihan teknologi orang lain, tetapi kita juga haruslah menjadi penyumbang kepada tamadun dunia moden. Jadi, kita tidak boleh tunggu lama untuk menjadi hebat. Semakin lama kita tunggu, semakin jauh orang tinggalkan kita. Kita akan terus terkejar-kejar untuk mengejar mereka. Akhirnya, yang dikejar tak dapat, yang dikendong akan berciciran. 

Sesungguhnya yang baik itu datang daipada Allah swt dan yang buruk itu datang daripada kelemahan diri sendiri yang perlu diperbaiki dari semasa ke semasa. Wallahualam.

No comments: