Friday, January 20, 2012

Kolaborasi Fakulti Jana Graduan Berprestasi Tinggi

Assalamualaikum...Bismillahirahmanirahim....Segala puji-pujian ke atas Allah swt dan junjungan Nabi Muhammad saw, Ammabaq..

     Perubahan drastik dalam inovasi pendidikan di universiti tempatan perlu dilakukan dengan kadar segera dalam mengejar penarafan global kedudukan universiti terbaik di peringkat antarabangsa. Secara amnya, sistem pembelajaran dan pengajaran di universiti kita belum lagi berada dalam kelas yang tersendiri untuk bersaing pada kedudukan 20 universiti terbaik dunia. Sesuatu kelainan yang luar biasa perlu diterapkan dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran untuk kita membuat kejutan kepada pentas ilmu dunia moden. Rentetan inovasi demi inovasi perlu diterjemahkan ke dalam modul  P & P untuk memberikan wacana pendidikan kreatif kepada pembentukan graduan yang produktif dan inovatif. 

     Kita perlu mencuba sesuatu yang baru dalam trend pengajian semasa. Pengajaran dan pembelajaran yang berteraskan kepada pengalaman dunia sebenar adalah ramuan terbaik untuk melahirkan graduan yang berprestasi tinggi. Graduan berprestasi tinggi adalah khazanah negara untuk menggerakkan negara ke arah sebuah negara yang maju. Masyarakat tempatan masih lagi mempunyai persepsi yang sinis kepada kemampuan universiti tempatan untuk melahirkan produk graduan yang berkelas dunia. Mereka menganggap bahawa universiti di sebelah barat adalah platform terbaik untuk menimba ilmu bagi menjadi graduan yang terbaik. Tamparan ini harus disahut sebagai satu cabaran, tetapi malangnya kecorotan universiti tempatan dalam ranking dunia gagal untuk menepis dakwaan sombong masyarakat tempatan sendiri. Masyarakat terus terpesona dengan keghairahan untuk belajar di luar negara bagi meneruskan kesinambungan kecemerlangan akedemik.

     Idea yang praktikal boleh kita fikirkan bersama untuk melonjakkan prestij universiti tempatan ialah dengan mewujudkan kolaborasi antara fakulti untuk pengajian tahap akhir. Eksperimennya ialah dengan mewujudkan satu projek mini untuk diuruskan dan dikendalikan oleh pelajar sendiri dengan tunjuk ajar pensyarah dan profesional yang berkaitan dengannya. Projek yang dimaksudkan ialah sebuah projek yang berskala kecil bagi pembinaan kawasan perumahan dan pusat perniagaan. Methodnya adalah gabungan tenaga kerja yang melibatkan kolaborasi antara Fakulti Ekonomi, Fakulti Alam Bina, Fakulti Kejuruteraan, Fakulti Perniagaan dan Fakulti Undang-undang.

Teliti carta bayangan cadangan bagi memudahkan proses pemahaman konsep cadangan kepada idea ini ;

1. Buka Tender
    - Wujudkan proses tender terbuka kepada pelajar Fakulti Ekonomi atau pelajar Fakulti Perniagaan. Tender akan diberikan kepada pelajar yang dapat menyediakan kertas  
      kerja terbaik.
    - Pelajar yang memenangi tender akan menjadi CEO syarikat dan membentuk syarikatnya sendiri dengan rakan-rakan sekuliahnya adalah partner dan pekerjanya.

2. Tinjauan Potensi Perniagaan.
    - Kumpulan dari fakulti ini akan meninjau peluang potensi perniagaan dengan mencari kedudukan strategik kawasan cadangan pembangunan, melihat potensi yang ada, 
      membuat ramalan keuntungan dan membuat keputusan penting dalam menentukan dasar prinsip korporat syarikat.

3. Pelan Pembangunan
    - Selesai proses tinjauan potensi perniagaan dan perancangan syarikat, syarikat pelajar ini akan memulakan rundingan dengan Fakulti Alam Bina untuk melukis pelan 
      pembangunan projek. Pelajar Fakulti Alam Bina ini dipelawa untuk merangka dan melakarkan pelan pembangunan projek tersebut. Pihak fakulti akan membuka 
      pertandingan kepada pelajarnya untuk bersaing mereka pelan terbaik bagi memilih pemenang. Pemenang akan menjadi arkitek kepada projek tersebut.

4. Proses Perjalanan Projek
   - Setelah itu syarikat pelajar ini akan mula mencari kontraktor untuk memulakan dan membangunkan projek tersebut dengan menghantar pelan arkitek kepada Fakulti 
     Kejuruteraan. Ambilah buruh asing sebagai pekerja tapak projek dengan pelajar Fakulti Kejuruteraan sebagai jurutera projek tersebut untuk didedahkan ilmu kejuruteraan  
     dalam memantau perkembangan projek tersebut sehingga tamatnya projek itu.

5. Selepas siapnya projek itu pelajar Fakulti Perniagaan pula berperanan mencari pembeli dengan membuat marketing.

6. Akhir sekali libatkan pelajar Fakulti Undang-undang untuk menjadi peguam dalam proses hak jual beli / milik dengan pembeli.

     Wujudkan konsep kolaborasi ini secara muhibah diantara mereka dan curahkan segala ilmu dan pengetahuan kepada mereka. Cara begini akan mengubah minda pemikiran pelajar dan pendedahan yang diperolehi amat berguna kepada mereka apabila mereka berada di dalam dunia pekerjaan sebenar. Kelebihan ini adalah elemen terpenting untuk melariskan mereka dalam pasaran kerja. Syarikat-syarikat akan berebut untuk mengambil mereka dan sekaligus menaikkan nama universiti. Apabila nama menjadi sebutan di bibir para korporat, sudah pasti saham universiti melambung tinggi dan akan mula menjadi bualan ramai. Situasi beginilah yang akan membantu melonjakkan prestij sesebuah universiti.

     Kejayaan Universiti of Cambridge dan Universiti of Harvard mengekalkan status universiti terbaik dunia adalah disebabkan oleh faktor legasi kecemerlangan. Mereka akan sentiasa mencari kelainan dalam mengekalkan legasi kecemerlangan itu. Kita hanya mampu bermimpi di siang hari untuk menjadi sebaik mereka, sedangan sistem P & P kita masih di takut lama. Kita terus mengekalkan legasi lama yang tidak kompetitif untuk berdaya saing. Kita terlalu suka membuat perubahan dengan mengambil idea barat yang tak ubah seperti idea second hand yang tidak sesuai dalam memberikan kita kekuatan untuk mencari identiti kita yang sebenarnya. Mengapa kita mudah terpesona dengan idea dan konsep barat yang begitu menjadi kemegahan masyarakat kita. Janganlah kita hanya menjadi pak turut sahaja dengan membiarkan mereka terus memimpin revolusi idea dalam falsafah pendidikan. Kita perlu bina kekuatan kita sendiri dan perlu yakin pada diri sendiri. Kegagalan kita selama ini adalah disebabkan belenggu minda yang terkonkong dengan ketaksuban idea dan teori barat. Revolusi idea yang inovatif adalah jawapan yang sebenarnya kepada hasrat yang riuh sekampung untuk memartabatkan institusi pendidikan arus perdana ke mata dunia. Keberanian dalam mencuba idea baru merupakan indikator terpenting sebagai tapak permulaan untuk menempuh perjalanan yang jauh untuk menuju ke puncak destinasi. 

     Kalau tidak dipecahkan ruyung, 
     manakan dapat sagunya,
     Kalau tidak dipecahkan tradisi ilmunya sekarang,
     manakan kita dapat jadi jagoannya.

     Sesungguhnya yang baik itu datang daipada Allah swt dan yang buruk itu datang daripada kelemahan diri sendiri yang perlu diperbaiki dari semasa ke semasa. Wallahualam.

No comments: