Tuesday, December 27, 2011

Modul Pembangunan Modal Insan Ke Arah Malaysia Yang Maju dan Makmur

Bismillahirahmanirahim....
Segala puji-pujian ke atas Allah swt Nabi Muhammad saw, Ammabaq...

   Saya begitu tertarik dengan cadangan kerajaan untuk memperuntukkan dana yang berjumlah RM28b untuk pembiayaan pengajian rakyat Malaysia untuk peringkat pengajian tertinggi. Alhamdunillah, semua ini adalah suatu usaha yang amat baik. Tetapi harus diingat, kerajaan juga perlu menyuntik dana yang besar untuk pembangunan pendidikan rendah dan menengah bagi pemantapan modal insan sebagai produk masa hadapan negara. 

   Apa yang saya ingin kongsikan dengan pembaca yang budiman semua ialah pengukuhan asas yang diberikan kepada kanak-kanak dan remaja pada peringkat awal adalah amat penting sekali bagi membina potensi diri sebagai arah tuju keberlangsungan hidup mereka di masa hadapan. Cuba lihat permasalahan sosial yang berlaku pada hari ini. Puncanya ialah kerana asas didikan agama pada peringkat awal tiada sebagai jati diri mereka. Hidup mereka terabai dengan tiadanya kasih sayang, perhatian, tunjuk ajar dan bimbingan agama menyebabkan mereka mudah terjebak kepada kejahatan. Jadi, cetusan idea revolusi pendidikan yang bestari mampu mengubah permasalahan ini. Pendidikan adalah indikator terpenting dalam impian negara mencapai cita-cita negara maju. Sekiranya Malaysia tidak berani mengubah idea pendidikannya, signifikan kemajuan itu tidak akan mencapai erti yang sebenarnya khususnya bagi kaum bumiputera.

   Antara idea yang boleh difikirkan oleh kerajaan ialah mewujudkan SEKOLAH KHAS BERASRAMA VOKASIONAL. Sekolah ini hanya adalah untuk diisi oleh murid yang lemah dan sederhana dalam pelajaran. Kriteria lain juga ialah murid yang miskin dan berpendapatan sederhana, keluarga yang kacau-bilau dan bermasalah serta keluarga yang tidak mempunyai matlamat hidup bagi anak-anak mereka khususnya di luar bandar. Pengambilan pelajar ini bermula daripada tingkatan satu lagi. Mereka hendaklah ditempatkan di sekolah khas ini dengan diberikan pendedahan asas tentang dunia vokasional. Mereka diwajibkan tinggal di asrama dan mereka harus diajar untuk hidup berdikari. Pembelajaran hanya melibatkan subjek yang perlu sahaja seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Pendidikan Islam. Jangan dibebankan mereka dengan mereka dengan banyak subjek, kerana mereka ini tidak minat belajar. Modul pelajaran mereka hanya tertumpu kepada bidang vokasional 90%. Mereka hendaklah diajar untuk bekerja keras. Pengisian agama perlu diberikan penekanan utama seperti tidak meninggalkan solat, mempelajari ilmu agama dan mampu untuk menjadi imam. Elaun khas perlu diberi kepada mereka sebagai suntikan motivasi untuk mereka terus memajukan diri. Pembelajaran mereka bukan hanya setakat daripada tingkatan 1- 5 sahaja, tetapi peluang untuk menyambung pelajaran harus diberikan kepada mereka.

   Di sekolah khas ini juga mereka harus didedahkan dengan dunia perniagaan. Pelajar harus diajar cara untuk berniaga supaya mereka mendapat pendedahan tentang pemasaran perniagaan. Pelajar harus diwajibkan memasarkan hasil vokasional mereka dan mesti mencapai target jualan sebagai syarat lulus peperiksaan tahap akhir. Selepas tamat belajar, para pelajar diberikan peluang pekerjaan sebagai mencari pengalaman bekerja. Selepas itu mereka harus diberikan modal untuk berniaga secara kecil-kecilan. Pendedahan ini semua amat penting bagi melahirkan kualiti standard pelajar yang bermutu dan berwibawa. Dengan adanya idea seperti ini, ianya pasti akan mengubah cara dan gaya hidup rakyat Malaysia kepada masyarakat yang bekerja kuat, berpandangan jauh, berdaya saing dan yang penting mempunyai sahsiah yang baik.

   Rakyat kita hari ini malas bekerja dan hanya inginkan jalan yang mudah untuk senang. Sedangkan bukan senang untuk senang. Fenomena ini lebih parah lagi apabila manusia telah hilang pedoman sehingga sanggup melakukan jenayah semata-mata kerana mahukan wang. Daripada manakah punca masalah ini? Jawapannya ialah kerana didikan semasa kecil mereka tidak kena.Faktor utama ialah mereka tidak sembahayang kerana keluarga mereka tidak sembahayang dan mereka tidak pula diajar sembahayang. Mereka juga dibiarkan untuk membuat keputusan sendiri. Maksudnya ibu bapa dan keluarga tidak mempedulikan segala keputusan yang telah diambil oleh anak mereka. Kalau mereka kata tidak mahu ke sekolah, maka mereka tidak akan ke sekolah. Maka bermulalah permasalahan sosial dalam hidup mereka. Mereka ini biasanya tidak tahu apa itu matlamat hidup kerana mereka tidak dibimbing untuk mempunyai matlamat hidup mereka sendiri. Daripada situlah bermulanya punca masalah jenayah di kalangan masyarakat kita. 

   Jesteru itu. peranan kerajaan amat penting dalam hal ini. Murid-murid yang bermasalah harus dikesan daripada awal bermula pada umur 12 dan 13 tahun lagi. Ambil mereka ini dan tempatkan mereka ini di Sekolah Khas Berasrama Vokasional ini. Berikan mereka kemahiran vokasional kepada mereka secara 90% dan hanya 10% pelajaran teras kepada mereka. Tanggung makan minum, pakaian dan tempat tinggal mereka. Berikan elaun sebagai galakan dan peransang kepada mereka. Bimbing mereka dengan santapan rohani untuk sentiasa mengingati Allah swt. Jadikan solat 5 waktu sebagai syarat utama lulus pelajaran di sekolah tersebut. Tunjukkan mereka jalan matlamat hidup agar tahu untuk menentukan hala tuju hidup mereka sebagai seorang insan yang berjaya di dunia dan juga di akhirat. InsyaAllah diharapkan cara ini dapat menjadikan rakyat Malaysia yang maju bukan sahaja dalam bidang ekonomi, tetapi minda rakyat Malaysia berkelas dunia.

   Kerajaan mampu untuk memperbetulkan semua ini, malah kerajaan akan mampu mengubah senario ini sekiranya kita bijak merangka pelan pendidikan yang lebih kreatif dan inovatif. Binalah sekolah khas ini di seluruh negeri di Malaysia ini. Walaupun ianya melibatkan modal yang besar, tetapi pulangannya akan memberikan keuntungan yang berlipat kali ganda. Negara akan dapat mengurangkan perbelanjaan menanggung penagih dadah, kos makan minum penjenayah, kerosakan dan kecurian harta benda, rasuah, penyelewengan, penipuan, kegiatan haram dan berjutaaan ringgit lagi akibat angkara jenayah. Bila negara aman, rakyat berdaya saing dan berkemahiran serta daya minda berkelas dunia, pintu rezeki negara akan mencurah-curah dengan kebanjiran para pelabur dalam dan luar negara. Kerajaan dan khususnya Kementerian Pendidikan harus berani tampil dengan idea-idea yang moden yang lebih berpandangan jauh. Selagi kita sibuk dengan idea-idea yang lapuk dan idea-idea luar yang belum tentu lagi bagus, maka selagi itulah kita tidak akan mampu untuk bersaing dengan dunia luar. Malah, kita akan terus bergantung kepada dunia luar untuk meneruskan survival ekonomi kita tanpa mempunyai maruah sendiri untuk membina kekuatan di atas kaki sendiri.

Sesungguhnya yang baik itu datang daipada Allah swt dan yang buruk itu datang daripada kelemahan diri sendiri yang perlu diperbaiki dari semasa ke semasa. Wallahualam.

No comments: