Thursday, October 31, 2013

Inovasi Idea Bantu Mengurangkan Kadar Kemalangan Jalan Raya

Assalamualaikum...Bismillahirahmanirahim....Segala puji-pujian ke atas Allah swt dan junjungan Nabi Muhammad saw, Ammabaq...

    Kemalangan jalan raya adalah satu malapetaka besar kepada Malaysia. Ramai rakyat maut akibat kemalangan jalan raya.Tragedi ini begitu sebati dengan Malaysia dan seolah-olah tiada noktah penyelesaian kepada isu ini. Istilah "Mati Katak" ini merupakan satu kehilangan besar kepada negara daripada segi sumber tenaga manusia. Sesuatu perlu dilakukan dengan segera bagi menyekat tragedi ini terus berlaku terutamanya di musim perayaan.

  Cara kita menangani isu ini seperti "ops sikap", saman, kempen keselamatan jalan raya ,denda maksimun, kamera AES dan sebagainya adalah sebenarnya kurang berkesan. Buktinya kadar kemalangan terus berputar pada skala yang menakutkan. Kenapa kita perlu terus kepada cara yang sama, sedangkan ianya jelas terbukti gagal mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Kita perlu kepada pembaharuan dan idea baru dalam mencari jalan penyelesaiannya.

   Inovasi praktikal yang perlu dicuba dan patut dicuba ialah dengan memasang alat penggera keselamatan. Setiap kenderaan mempunyai alat penggera keselamatan yang akan mengingatkan pemandu supaya memandu dengan berhati-hati. Apabila enjin kereta dihidupkan, penggera tersebut akan secara automatik "membaca doa sebelum menaiki kenderaan"  ( " Subhanallazi Sahharolana Haza Wama Kunnalahu Mukrinin, Wa Inna Ila Rabbana Lamunqolibuun..".) kerana membaca doa kenderaan itu penting memohon kepada Allah s.w.t berlindung daripada malapetaka buruk. Apabila pita penggera itu membaca doa menaiki kenderaan, alangkah indahnya seluruh penumpangnya dan pemandunya sekali mengaminkan doa secara berjemaah. Selepas penggera membaca doa, penggera akan megingatkan pemandunya dengan kata-kata ringksas,contohnya "Pandu Cermat Anda Pasti Selamat,InsyaAllah".

   Apabila kenderaan dipandu dengan melebihi had laju yang sepatutnya, penggera itu akan sekali lagi berfungsi mengingatkan pemandu dan penumpangnya sekali. Pita penggera itu akan bercakap secara automatik mengeluarkan amaran lisan kepada pemandu dan penumpang. Contohnya pita penggera itu akan berbunyi seperti " Sudahkah anda bersedia untuk mati katak?, kalau anda belum bersedia, pandulah dengan cermat, ingatlah Allah dan orang yang tersayang". Penggera itu akan sentiasa mengeluarkan amaran setiap kali jarum meter melebihi had laju. Syarikat kenderaan Nasional sepatutnya mengambil inovasi ini untuk dikomersialkan sekaligus dapat mencetuskan idea pintar dalam dunia automatif global.

   Musim perayaan ini pasti akan menyaksikan ramai yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam terutamanya bas untuk balik ke kampung. Bas ekspres dan bas tambahan sering kali terlibat dengan kemalangan maut di setiap kali musim perayaan. Banyak nyawa yang terkorban dengan begitu tragis sekali. Antara idea yang patut pihak kerajaan cuba pada tahun ini ialah dengan mewajibkan setiap pemandu bas membaca doa sebelum menaiki bas secara berjemaah dengan penumpang. Setiap pegawai JPJ akan memberikan pesanan ringkas pada setiap bas sebelum bertolak selama 2 minit di dalam bas tentang keselamatan jalan raya. 
  
   Setiap bas mestilah memainkan bacaan ayat suci Al-Quran secara perlahan di dalam bas dengan harapan agar Allah s.w.t merahmati dan memberkati perjalanan itu. Ianya juga sekaligus dapat menggelakkan perkara sumbang dan maksiat daripada berlaku di dalam bas. Apabila perjalanan itu selamat, pemandu bas akan membaca doa selamat kepada sebagai tanda syukur kepada Allah s.w.t dan diaminkan oleh seluruh penumpang.

   Semoga perayaan tahun ini tidak ditangisi dengan tragedi yang menyayat hati. Masalah ini seakan menjadi satu saka kepada negara. Inovasi dan idea baru sepatutnya perlu diterokai untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang sering tidak menunjukkan kemajuannya. Jangan terlalu obses kepada sesuatu cara sahaja, kita perlu kreatif demi menyelamatkan nyawa yang amat berharga di atas jalan raya. 


Sesungguhnya yang baik itu datang daipada Allah swt dan yang buruk itu datang daripada kelemahan diri sendiri yang perlu diperbaiki dari semasa ke semasa. Wallahualam.