Sunday, February 12, 2012

"Pusat Klinik Pendidikan Awalan" Inovasi Idea Transformasi Malaysia Maju


Assalamualaikum...Bismillahirahmanirahim....
Segala puji-pujian ke atas Allah swt dan junjungan Nabi Muhammad saw, Ammabaq...


     Pendidikan adalah suatu permulaan kepada proses peralihan pembentukan negara maju. Pendidikan yang berjaya mencapai kecemerlangan melahirkan generasi yang mencintai ilmu akan menjadi sandaran utama untuk mencipta inspirasi membawa negaranya ke arah sebuah negara yang maju. Sejarah telah membuktikan secara sahih bahawa bangsa yang berilmu akan menjadi pemanipulasi membawa pengaruhnya untuk menakluki dunia. Ledakan revolusi tamadun bangsa adalah bermulanya di atas platform kegilaan mencintai ilmu. Selepas itu pendidikan ditekankan sebagai teras aspirasi kepada kecemerlangan bangsa.

    Skop pendidikan negara sentiasa dibatasi dengan inspirasi orientalis barat sebagai method dasar pengajaran dan pembelajaran. Sindrom sekelumit kecil rasa hati yang skeptikal terhadap kebolehpercayaan inovasi pendidikan tempatan menjadi batu penghalang kepada perlaksanaan dasar agenda pendidikan negara. Kelainan dalam inovasi pendidikan tempatan harus diperluaskan dalam kita mencari formula ajaib untuk permulaan dimensi baru tamadun bangsa Malaysia yang berjaya. Sikap dan sifat yang terus melihat sistem pendidikan luar sebagai dasar pendidikan negara harus dikaji secara empirikal. Ini bermaksud bukan menolak sepenuhnya, tetapi jalan yang terbaik ialah dengan membuat penambahbaikan iaitu mengabungjalinkan idea pendidikan luar dengan inovasi pendidikan tempatan. Ramuan ini akan pasti menguntum sebuah impian untuk melihat pendidikan yang ampuh dan sempurna.

     "Pusat Klinik Pendidikan Awalan" adalah satu manifestasi inovasi kreatif yang menggerakkan transformasi Malaysia maju 2020.  "Pusat Klinik Pendidikan Awalan" ini ialah pusat pendidikan awalan yang beroperasi secara bersepadu dengan klinik kesihatan ibu dan anak.  "Pusat Klinik Pendidikan Awalan" akan memberikan pendidikan semenjak awal usia kandungan bayi lagi. Bayi seawal usia kandungan ini akan diberikan pendidikan secara tidak formal. Beberapa orang guru dan pembantu ditempatkan di pusat ini untuk menjalankan tanggungjawab memberikan pendidikan kepada bakal bayi ini. Pusat ini akan berada dalam kawasan klinik. Sebelum menunggu giliran pemeriksaan kandungan, ibu-ibu yang mengandung akan menjalani proses pembelajaran untuk bayi kandungan. Ibu-ibu yang mengandung harus menjalani proses pembelajaran mudah seperti mengenal nombor dan huruf jawi serta rumi, penyelesaian mudah matematik, pembelajaran Pendidikan Islam, mengenal asas bahasa Inggeris, menulis, melukis, muzik dan sebagainya di pusat ini. Tujuannya adalah untuk mewujudkan proses pembelajaran di dalam kandungan lagi bagi melahirkan anak yang cerdik dan pintar. Disamping itu di dalam klinik bersepadu ini diperdengarkan dengan bacaan Al-Quran untuk menyuntik suasana tenang dan harmoni.

     Setiap kali pemeriksaan kandungan di klinik, maka setiap kali itulah ibu-ibu yang mengandung harus wajib menjalani proses pembelajaran ini. Sebelum ibu-ibu ini belajar untuk anaknya, para ibu akan diberikan makanan tambahan untuk kecerdasan minda seperti buah delima, kismis, kurma, daging burung merpati, pati minyak ikan dan lain-lain lagi. Selepas menjamu makanan kecerdasan minda ini, maka ibu-ibu yang mengandungi ini akan memulakan pembelajaran untuk berinteraksi dengan anak dalam kandungan. Kalaulah si suami ada sekali menemani si isteri alangkah lebih manisnya lagi. Si suami akan menjadi guru kepada si ibu dan si anak yang berada di dalam kandungan. Si suami akan membacakan cerita-cerita nabi dan menyelesaikan ilmu darab, tambah, bahagi dan campur dengan si anak di dalam kandungan. Si suami juga akan mengajar si ibu dengan menggunakan  flash-card bagi mewujudkan proses pembelajaran 3 hala antara ayah,ibu dan anak. Menurut kajian, hubungan interaksi antara ayah dengan anak yang berada di dalam kandungan akan lebih berkesan daripada komunikasi si ibu dengan si anak.. Kaedah ini harus dipraktikkan oleh si ayah kepada si anaknya yang berada di dalam kandungan.

     "Pusat Klinik Pendidikan Awalan" ini tidak akan terhenti selepas bayi selamat dilahirkan. Kesinambungannya akan terus berlangsung selepas daripada itu. Proses pembelajaran akan diteruskan semasa peringkat bayi. Setiap kali si ibu menghantar si anaknya untuk pemeriksaan berkala bayi, maka setiap kali itulah bayi itu akan mengalami proses pembelajaran. Bayi-bayi ini akan terus belajar sehingga selesai temu janji pemeriksaan berkala. Modul pembelajaran yang sesuai dengan usia bayi harus dirangka untuk proses pembelajaran.

     Sekiranya bayi ini telah memasuki peringkat awal kanak-kanak dan didapati mengalami kelemahan dalam mengenal huruf dan nombor, maka kanak-kanak ini wajib datang semula ke "Pusat Klinik Pendidikan Awalan" untuk dibantu supaya kanak-kanak ini dapat mengenal huruf dan nombor seperti kanak-kanak yang lain. Kanak-kanak yang mempunyai masalah dalam proses mengenal huruf dan nombor ini akan terus diberikan pemerhatian secara berterusan sehinggalah mencapai tahap yang dikehendaki. Proses ini akan membantu kanak-kanak dapat membaca dan menulis pada peringkat yang lebih awal lagi. Dengan cara ini, kanak-kanak ini akan melangkah ke alam pra persekolahan dengan sudah pandai membaca dan menulis. Jadi, proses pembelajaran di peringkat pra sekolah akan menjadi lebih mudah dan boleh ditumpukan kepada aspek pembelajaran yang lebih mencabar.

     Sudah sampai masanya kita berinovasi mencari alternatif pendidikan baharu yang bermutu dan berkualiti. Dengan meniru dasar pendidikan luar secara bulat-bulat akan membuatkan kita akan terus berada di bawah cengkaman mereka yang mengunci kita di dalam kepompong pengaruh imperialisme mereka. Ketaksuban terlalu mengambil idea pendidikan luar ibarat seorang pembeli yang berkemampuan tetapi membeli kereta terpakai kerana terlalu sayangkan duit. Pemilik asalnya telah melanyak kereta itu sehabis-habisan, lalu menjualnya setelah puas dipakai dan membeli kereta yang terbaharu di pasaran. Pembeli tersebut terpaksa membelanjakan duit yang banyak untuk kos penyelenggaraan, disamping ketinggalan dalam aspek teknologi automatif terkini. Pemilik asalnya menikmati pemanduan yang terhebat tetapi pembeli tersebut terpaksa menyelenggara  keretanya setiap bulan, sedangkan dia mampu untuk membeli kereta yang baharu.

     Maksudnya ialah kita ibarat pengguna sekunder yang mengguna pakai idea luar, sedangkan mereka sentiasa berinovasi dengan idea baharu yang berjaya melonjakkan kecemerlangan pendidikan. Kita pula tergapai-gapai mencari kesempurnaan dalam wadah pendidikan, tetapi mereka terus mara meninggalkan kita jauh di belakang dalam kecemerlangan pendidikan. Sampai sahaja separuh jalan, kita mula buntu mencapai kejayaan seperti mana yang diharapkan, lalu kita terpaksa mengubah kembali sistem pendidikan dan dalam pada masa yang sama kita sekali lagi terpaksa berjalan beribu batu jauhnya untuk menjenguk semula idea pendidikan luar. Kenapa kita perlu menghabiskan duit untuk mengadakan lawatan ke luar negara untuk mengkaji sistem pendidikan orang lain, sedangkan kita sendiri pun mempunyai pakar ilmuan tempatan untuk merangka dan menggubal dasar pendidikan negara.

     Sebelum dunia menutup matanya, alangkah indahnya kalau kita sempat menjadi bangsa yang unggul memimpin tamadun dunia dengan mengembalikan semula kehebatan zaman kegemilangan Islam yang lampau. Kehebatan kuasa besar Amerika, revolusi Eropah, kebangkitan Jepun, kemaraan ekonomi Korea Selatan, China dan India semuanya bertitik tolak daripada kesungguhan dalam mengejar ilmu untuk menjadi bangsa yang berjaya. Pendidikan adalah indikator yang terpenting dalam matlamat kita untuk menuju transformasi negara yang maju dan berpendapatan tinggi. Bangsa yang mulia ialah bangsa yang berilmu.


Sekian, terima kasih.

     Sesungguhnya yang baik itu datang daipada Allah swt dan yang buruk itu datang daripada kelemahan diri sendiri yang perlu diperbaiki dari semasa ke semasa. Wallahualam.

No comments: