FELDA Alaf Baru - Perlu Wujud Semula Untuk Melonjakkan Ekonomi Bumiputera dan Negara.
Assalamualaikum...Bismillahirahmanirahim....Segala
puji-pujian ke atas Allah swt dan junjungan Nabi Muhammad saw, Ammabaq...
Lembaga
Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP) atau dalam bahasa Inggerisnya "Federal
Land Development Authority" (FELDA) adalah satu agensi kerajaan Malaysia
yang menangani penempatan semula penduduk luar bandar yang miskin ke
kawasan-kawasan yang baru dibangun agar meningkatkan taraf ekonomi mereka.
Itulah istilah sebenarnya dasar kewujudan FELDA bagi memartabatkan ekonomi negara yang mana sehingga kini sumbangannya
amat besar kepada ekonomi negara.
FELDA
diasaskan pada 1 Julai 1956 apabila Akta Pembangunan Tanah (1956) dikuatkuasakan.
Modal permulaannya RM10 juta, dan petempatan sulung yang terdiri daripada 16.2
kilometer persegi pokok getah dibuka di Ayer Lanas pada 1957. Pembukaan FELDA
giat diteroka pembukaannya sekitar tahun 60an, 70an dan 80an. Pembukaannya
begitu memberikan manfaat kepada jaminan keberlangsungan mata pencarian hidup
bagi peserta peneroka FELDA. Tanah-tanah yang kosong tidak dibiarkan dan
dimanfaatkan dengan sebaiknya dengan adanya FELDA ini. Kini lihat hasil
daripada kewujudan FELDA ini telah memberikan rezeki yang melimpah ruah kepada
para penerokanya.
Tetapi,
kesinambungan pembukaan tanah baru FELDA itu nampaknya sudah terhenti. Tiada
lagi kedengaran tanah baharu diteroka. Tiada lagi juga kedengaran pengambilan generasi
baru peneroka FELDA, sedangkan ianya amat bermanfaat kepada pembangunan ekonomi
negara. Disaat ekonomi negara yang sedikit goncang konsistensi kemekarannya
ini, pembukaan tanah rancangan FELDA yang baharu adalah jawapan yang terbaik
kepada pemangkin ekonomi negara kita. Pembukaan tanah rancangan FELDA yang baharu
akan berupaya mengubah nasib penduduk Malaysia yang miskin kepada satu usaha
untuk mereka mengubah nasib hidup mereka kepada satu tahap kehidupan yang sederhana tetapi selesa.
Banyak
kepincangan yang berlaku di dalam Negara akan dapat ditenangkan bagi segala
tekanan yang ada sekarang ini, baik tekanan dari sudut sosial, budaya, ekonomi
dan peradabannya dengan mewujudkan kembali penempatan tanah rancangan FELDA yang
baru ini. Segala macam perkara buruk yang berlaku di luar sana terutamanya
perilaku yang memualkan daripada generasi baru kita adalah kerana mereka tiada
arah yang pasti untuk dituju dan kerajaan gagal untuk membina satu platform
destinasi yang benar-benar maha hebat untuk dituju. Dan…..inilah jawapan yang
kita cari selama ini yang tersembunyi khazanahnya yang semakin kita lupakan dan
pinggirkan. Penempatan baharu dengan pembukaan tanah rancangan tanah baharu ini
memberikan nafas segar bagi mengembalikan potensi belia negara dalam
menterjemahkan wawasan falsafah mereka
untuk membantu membangunkan ekonomi negara.
FELDA
generasi baru mestilah berwajah baharu dalam ruang lingkup trend terkini yang dapat
memenuhi citarasa generasi masa kini. FELDA baharulah ini mestilah moden dan trendy. Konsepnya lain tetapi
matlamatnya sama bagi menarik minat generasi kini untuk menyertai FELDA. Antara
idea yang boleh diketengahkn untuk mewujudkan semula FELDA baharu ialah dengan
mengabungjalinkan elemen-elemen baru dalam konsep FELDA ini. FELDA baharu ini
mestilah berasaskan kepada “Bandar Teknologi Pertanian” yang mengabungkan
elemen pertanian moden dengan perniagaan, keusahawanan, industri dan teknologi
maklumat. FELDA seperti ini akan menzahirkan kepada satu bentuk potensi
pertanian moden yang mampu mengangkat martabat sektor pertanian sebagai sesuatu
yang menguntungkan dan akan tercapailah hasrat bagi sebuah makna “Pertanian itu adalah Perniagaan”.
Kawasan
penempatannya mestilah didirikan dengan sebuah rumah yang selesa yang mempunyai
4 bilik sesuai dengan taraf hidup makhluk bumi sekarang ini. Setiap peneroka diberikan
keluasan tanah yang bersesuaian untuk diusahakan. Kaedah pertanian moden harus
diperkenalkan dalam konsep FELDA baharu ini untuk menjadikan generasi baru
sebagai petani moden. Mereka haruslah didedahkan dengan kaedah-kaedah pertanian
moden yang terkini untuk menanam asas jati tentang persepsi jiwa bahawa
pertanian moden mampu memberikan hasil yang lumayan, disamping mengikis
paradigma dajal yang menebal dalam diri bahawa pertanian adalah kerjaya marhain
lagi hina.
Bidang
pertanian adalah satu benteng ampuh untuk sesebuah negara bersiap siaga dalam
menghadapi sebarang musibah bencana yang melanda. Bencana alam, kecelakaan
peperangan, sekatan ekonomi dan segala macam bencana lagi. Pertanian adalah
penyelamat bagi meneruskan sisa-sisa keberlangsungan hidup kerana perut manusia
perlu diisi makanan untuk terus hidup. Banyak mana pun minyak di lautan,
sebanyak mana pun kilang industri yang kamu ada, sehebat mana pun pelabuhan yang
kamu miliki dan segagah badang sekalipun angkatan bala tentera kamu, tetapi
bila tiada makanan maka bagaimana untuk kamu meneruskan survival hidup. Jadi,
bidang pertanian adalah keperluan yang utama sebenarnya tetapi dipandang dingin
dengan selekeh-lekehnya oleh umat manusia muda sekarang ini yang mana hanya
tahu dalam sekelip mata perut mereka kenyang. Sudah tiba masanya kerajaan
memperkasakan bidang pertanian dengan menyusun strategi yang visi dan misinya
kearah satu pandangan dimensi yang baru. Maka, FELDA alaf baru ada satu-satunya
jawapan kepada persoalan misteri itu.
Sesungguhnya
yang baik itu datang daipada Allah swt dan yang buruk itu datang daripada kelemahan
diri sendiri yang perlu diperbaiki dari semasa ke semasa. Wallahualam.
No comments:
Post a Comment