Sunday, January 8, 2012

Pusat Perniagaan Mahasiswa Semai Semangat Keusahawanan Pelajar Universiti


Assalamualaikum...
Bismillahirahmanirahim....
Segala puji-pujian ke atas Allah swt Nabi Muhammad saw, Ammabaq...

   Perniagaan adalah dominasi utama kepada ukuran kejayaan sesebuah negara dalam dunia moden sekarang ini. Teras utama kemajuan sesebuah negara adalah disumbangkan oleh perolehan pendapatan  yang tinggi hasil daripada aktiviti perniagaan dan perdagangan. Semakin rancak aktiviti perniagaan dan perdagangan, maka semakin bertambah majulah negara itu dan semakin bertambah baiklah taraf hidup rakyatnya. Benarlah kata Nabi Muhammad s.a.w bahawasanya punca rezeki itu adalah 9/10 datangnya daripada perniagaan. Begitulah rumusan yang mudah bagi menggambarkan kemajuan sesebuah negara. Punca rezeki sesebuah negara yang maju adalah datangnya daripada perniagaan. Jadi, kerajaan Malaysia harus lebih agresif dalam menggalakkan penduduknya untuk lebih kompetitif dalam bidang perniagaan. 

  Platform terbaik untuk melahirkan pemain bidang usahawan yang bertaraf jutawan adalah daripada kalangan mahasiswa. Universiti adalah medan yang cukup ampuh untuk melahirkan usahawan yang berjaya untuk membantu memacukan transformasi ekonomi negara. Fakulti Ekonomi atau Fakulti Pengajian Perniagaan harus keluar daripada kepompong lama dalam kaedah pembelajaran. Pelajar tidak boleh lagi hanya disuap dengan kuliah teori yang tidak langsung membuka pintu jalan kepada mahasiswa kita untuk menceburkan diri dalam dunia perniagaan. Revolusi dalam kaedah pembelajaran harus ditransformasi, sekiranya kita mahu melihat universiti-universiti di Malaysia dikenali dan disegani ke seluruh pelusuk dunia.

  Pusat Perniagaan Mahasiswa adalah satu idea inovatif untuk kita mencungkil bakat keusahawanan para mahasiswa universiti. Pihak universiti seharusnya menyediakan satu tapak pusat perniagaan di dalam kampus universiti. Pusat perniagaan ini akan diuruskan sepenuhnya oleh mahasiswa dengan dibimbing oleh para pensyarah Fakulti Ekonomi dan pensyarah Pengajian Perniagaan. Wujudkan kedai-kedai kecil seperti mini market, pusat dobi, kedai makan, kedai alat telekomunikasi, kedai gunting rambut, salon, rumah tumpangan dan sebagainya.Wajibkan warga kampus untuk membeli di pusat tersebut bagi menghidupkan suasana urusan jual beli. Latih mahasiswa ini berniaga. Ajar mereka apakah itu invois, akaun, audit, stok, promosi, khidmat pelanggan dan sebagainya. Wujudkan persaingan di pusat perniagaan itu bagi melatih mereka bersaing mencari idea baharu untuk lebih maju lagi dalam perniagaan. Latih mereka bersaing secara sihat dan tidak mementingkan diri sendiri serta berlapang dada dalam berkongsi ilmu dan membantu rakan-rakan yang lain. Ajar mereka bermualat dalam perniagaan supaya mereka mempunyai nilai-nilai murni dalam rutin perniagaan. Ingatkan mereka supaya jangan lupakan solat walau sesibuk mana pun dalam urusan perniagaan supaya mereka faham bahawa rezeki itu datangnya daripada Allah s.w.t dan kita perlu menunaikan hak Allah s.w.t.

  Pendedahan ini akan memberikan mereka satu pengetahuan dan pengalaman yang sangat berguna untuk melangkah ke alam perniagaan. . Berikan ilmu berniaga dan bimbing mereka dalam menjalankan perniagaan. Keuntungan yang dapat boleh dimasukkan ke dalam Tabung Dana Mahasiswa. Tabung ini adalah sebagai  dana untuk memberi pinjaman kepada mahasiswa bagi memulakan perniagaan. Berikan mereka bantuan pinjaman tanpa faedah untuk mahasiswa yang berminat untuk memulakan perniagaan. Para pensyarah perlu menjadi konsultan kepada mahasiswa yang ingin memulakan perniagaan dengan memberikan tunjuk ajar dan menjadi pembakar semangat untuk mereka berjaya dalam perniagaan. Setelah mereka berjaya, mereka harus membayar balik pinjaman bagi menyuntik semula tabung dana bantuan pinjaman.

  Kaedah pembelajaran ini adalah lebih menjurus kepada dunia sebenar perniagaan. Dengan cara ini mahasiswa akan dapat merasakan pahit manis dan jatuh bangun dalam bidang perniagaan. Hal ini akan membuatkan mereka sudah bersiap sedia dan menjadi lebih matang untuk menempatkan diri dalam kancah dunia perniagaan. 

  Sudah sampai masanya cara penyampaian ilmu di kuliah ditambah baik lagi dengan memperkenalkan modul pembelajaran yang lebih efektif dan kompetitif. Pembelajaran tidak seharusnya melalui teori dan peperiksaan tetapi pengalaman sebenar dalam dunia nyata juga adalah begitu penting dalam persaingan dunia global. Kita harus mencipta sesuatu yang baru, bukannya hanya dengan menunggu idea dunia barat untuk diserapkan ke dalam sistem pembelajaran kita. Jikalau kita asyik memandang idea luar sampai bila-bila pun kita tidak akan berjaya, apatah lagi untuk mengalahkan University of  Harvard, University of Oxford, University of Cambridge dan sebagainya dalam perlumbaan penarafan universiti terbaik dunia.  Kita harus berani mencuba sesuatu yang baharu dan tidak gentar untuk berdiri dengan kaki sendiri dengan cara kita sendiri. Buka mata dunia luar dengan kejayaan acuan kita sendiri. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.  

Sesungguhnya yang baik itu datang daipada Allah swt dan yang buruk itu datang daripada kelemahan diri sendiri yang perlu diperbaiki dari semasa ke semasa. Wallahualam.
    

No comments: