Assalamualaikum...Bismillahirahmanirahim....
Segala puji-pujian ke atas Allah swt dan junjungan Nabi
Muhammad saw, Ammabaq...
Saban hari
sajian tentang keiblisan celaka jenayah terpampang di dada-dada akhbar tempatan
dan media massa elektronik. Kegilaan perilaku si penjenayah ini nampaknya tiada
lagi batasan dan belas kasihan sehingga sanggup melakukan apa sahaja sehingga
tergamak membunuh seseorang demi matlamat nafsu iblisnya. Kebimbangan terhadap
kemudaratan jenayah yang semakin tidak terkawal ini bagaikan tiada kesudahan
kerana setiap masa akan ada sahaja si penjenayah-penjenayah ini akan muncul
menonjolkan kejahatannya. Semakin lama semakin ramai lahirnya penjenayah di
negara kita.Dari mana ianya datang? Kenapakah ramai yang menjadi penjenayah?
Dua persoalan yang menjadi tanda tanya kita semua. Daripada sekecil-kecil
jenayah sehingga ke sebesar-sebesarnya jenayah semakin menggila yang menjadi
barah kepada kemakmuran Malaysia yang bertuah ini. Kehidupan kita sekarang ini
akan sentiasa diselubungi kegelisahan tentang kemugkinan-kemungkinan jenayah
yang akan berlaku disekeliling kita. Pelbagai kemungkinan yang tidak diingini
akan berlaku secara tidak diduga kepada kita sekiranya gejala jenayah ini gagal
dibendung dan ditangani. Tiada jaminan yang kita akan selamat dalam kemelut
jenayah yang semakin menggila ini.
Langkah kerajaan
ingin mewujudkan pindaan Akta Pencegahan jenayah ( PCA ) 1956 hanyalah secubit
harapan untuk mengurangkan kadar jenayah. Adakah ia jaminan kepada kita bahawa
PCA dapat membasmi celaka jenayah secara mutlak? Sistem ini tidak lebih sekadar
kepada langkah penambahbaikan kepada mengurangkan kadar jenyah, tetapi belum
pasti menyelamatkan kita daripada bahaya jenayah. Penjenayah akan sentiasa
lahir pada setiap masa di setiap tempat dari semasa ke semasa. Kehadiran
penjenayah pada zaman moden ini ibarat "cendawan tumbuh selepas
hujan". Belum sempat satu kes jenayah diselesaikan, akan timbul
bermacam-macam kes jenayah yang lain lagi. Bagaimana jenayah hendak dikurangkan
kalau terlalu ramai penjenayah yang muncul? Walaupun penjara kita penuh dengan
penjenayah, tetapi di luar sana masih ramai si penyangak jenayah menunggu masa
untuk meneruskan survival aktiviti mereka.
Jenayah perlu
dicegah daripada akar umbi. Membasmi jenayah hanya memenatkan kerana tidak akan
ada kesudahannya. Didikan agama, masalah keluarga, kesempitan hidup dan sistem
pendidikan yang tidak kena caranya adalah penyumbang terbesar kepada kemelut
permasalahan jenayah ini. Selagi perkara ini tidak diperbetulkan maka selagi
itulah masalah ini akan terus berterusan. Sampai bila-bila pun perkara ini
tiada kesudahannya dan indeks jenayah akan terus meningkat pada setiap masa.
Cara yang
praktikal bagi mencegah kepada peningkatan kes jenayah di negara kita ialah
dengan memperkenalkan "Polis Komuniti". Polis Komuniti ialah satu
pasukan polis untuk mencegah jenayah daripada berlaku dengan mendampingi
komuniti masyarakat. Pasukan ini berada dalam linkungan komuniti masyarakat
untuk mengetahui permasalahan sosial masyarakat tentang perkara-perkara yang
boleh mengundang kepada masyarakat. Pasukan ini juga akan berdampingan dengan
masyarakat setempat untuk mengumpul maklumat tentang sarang-sarang jenayah yang
wujud sisekeliling masyarakat. Secara tidak langsung Polis Komuniti ini akan
membentuk kerjasama dengan masyarakat mengesan dan mencegah jenayah dengan
lebih cepat, cekap dan efisyen daripada peringkat awal lagi sebelum ianya
merebak menjadi kecelakaan jenayah. Polis Komuniti ini akan mewujudkan
interaksi dan hubungan dua hala dengan masyarakat dalam mengambil berat tentang
masalah jenayah di kawasan komuniti masyarakat itu sendiri.
Peranan Polis
Komuniti ini juga ialah mengajak manusia kearah kebaikan. Fungsinya lagi
sebagai pasukan yang menyampaikan dakwah kepada masyarakat setempat untuk
menyeru manusia taat pada perintah Allah s.w.t dan meninggalkan perkara mungkar
yang ditegah oleh-Nya. Pasukan Polis ini akan menganjurkan kuliah agama secara
mingguan atau bulanan untuk mengajak manusia dekat kepada Allah s.w.t. Aktiviti
kemasyarakatan seperti hari keluarga, sukaneka, perlawanan bola sepak dan
aktiviti lain lagi diadakan untuk masyarakat setempat berhimpun beramai-ramai
bertemu mata bagi mewujudkan suasana muhibah disamping bersembang tentang
ketenteraman awan di kawasan mereka. Peruntukan hendaklah disediakan untuk
tujuan jamuan makan bagi menceriakan lagi majlis kuliah dan aktiviti yang
dijalankan untuk menarik perhatian hadirin masyarakat.
Pasukan Polis
kita sekarang ini lebih menjerumus kepada membasmi jenayah. Setelah berlaku
jenayah barulah mereka akan bertindak. Mekanisme ini adalah konservatif. Kita
perlu kepada satu mekanisme yang baharu. Polis Komuniti ini adalah satu
alternatif kepada mencegah jenayah pada peringkat awal daripada merebak dengan
lebih teruk. Mendekati, menyelami dan memahami masalah sosial komuniti
masyarakat adalah langkah pencegahan awal menangani masalah jenayah yang wujud
dalam masyarakat sekeliling. Kaedah ini akan membantu mengurangkan masalah
jenayah yang begitu serius pada masa sekarang ini.
Kita perlukan
perubahan kepada setiap permasalahan dengan idea inovatif yang lebih praktikal
dan dinamik. Sebenarnya agama Islam telah memberitahu kepada kita semua bahawa
masalah jenayah yang wujud ini berlaku kerana manusia itu tidak beriman kepada
Allah s.w.t. Agama Islam itu juga telah memberi jalan kepada kita bagaimana
untuk menangani masalah jenayah itu sendiri. Bertaqwa dan beriman kepada Allah
s.w.t maka tiadalah jenayah yang akan berlaku. Pasukan Polis Komuniti hadir
dalam kumpulan masyarakat untuk mendengar, berinteraksi, berkongsi maklumat dan
berdakwah kepada masyarakat untuk sama-sama mencegah jenayah. Alangkah indahnya
bila masyarakat dan polis bekerjasama menangani segala bentuk masalah jenayah
yang ada. Barulah " yang berat sama dipikul, yang ringan sama
dijinjing" dan yang susah menjadi senang dengan mencegah sebelum padah.
Mencegah itu lebih baik daripada merawat.
Sesungguhnya
yang baik itu datang daipada Allah swt dan yang buruk itu datang daripada
kelemahan diri sendiri yang perlu diperbaiki dari semasa ke semasa.
Wallahualam.