Tuesday, January 27, 2015

FELDA Alaf Baru - Perlu Wujud Semula Untuk Melonjakkan Ekonomi Bumiputera dan Negara.


Assalamualaikum...Bismillahirahmanirahim....Segala puji-pujian ke atas Allah swt dan junjungan Nabi Muhammad saw, Ammabaq...

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP) atau dalam bahasa Inggerisnya "Federal Land Development Authority" (FELDA) adalah satu agensi kerajaan Malaysia yang menangani penempatan semula penduduk luar bandar yang miskin ke kawasan-kawasan yang baru dibangun agar meningkatkan taraf ekonomi mereka. Itulah istilah sebenarnya dasar kewujudan FELDA bagi  memartabatkan ekonomi  negara yang mana sehingga kini sumbangannya amat besar kepada ekonomi negara.

FELDA diasaskan pada 1 Julai 1956 apabila Akta Pembangunan Tanah (1956) dikuatkuasakan. Modal permulaannya RM10 juta, dan petempatan sulung yang terdiri daripada 16.2 kilometer persegi pokok getah dibuka di Ayer Lanas pada 1957. Pembukaan FELDA giat diteroka pembukaannya sekitar tahun 60an, 70an dan 80an. Pembukaannya begitu memberikan manfaat kepada jaminan keberlangsungan mata pencarian hidup bagi peserta peneroka FELDA. Tanah-tanah yang kosong tidak dibiarkan dan dimanfaatkan dengan sebaiknya dengan adanya FELDA ini. Kini lihat hasil daripada kewujudan FELDA ini telah memberikan rezeki yang melimpah ruah kepada para penerokanya.

Tetapi, kesinambungan pembukaan tanah baru FELDA itu nampaknya sudah terhenti. Tiada lagi kedengaran tanah baharu diteroka. Tiada lagi juga kedengaran pengambilan generasi baru peneroka FELDA, sedangkan ianya amat bermanfaat kepada pembangunan ekonomi negara. Disaat ekonomi negara yang sedikit goncang konsistensi kemekarannya ini, pembukaan tanah rancangan FELDA yang baharu adalah jawapan yang terbaik kepada pemangkin ekonomi negara kita. Pembukaan tanah rancangan FELDA yang baharu akan berupaya mengubah nasib penduduk Malaysia yang miskin kepada satu usaha untuk mereka mengubah nasib hidup mereka kepada satu tahap kehidupan yang  sederhana tetapi selesa.

Banyak kepincangan yang berlaku di dalam Negara akan dapat ditenangkan bagi segala tekanan yang ada sekarang ini, baik tekanan dari sudut sosial, budaya, ekonomi dan peradabannya dengan mewujudkan kembali penempatan tanah rancangan FELDA yang baru ini. Segala macam perkara buruk yang berlaku di luar sana terutamanya perilaku yang memualkan daripada generasi baru kita adalah kerana mereka tiada arah yang pasti untuk dituju dan kerajaan gagal untuk membina satu platform destinasi yang benar-benar maha hebat untuk dituju. Dan…..inilah jawapan yang kita cari selama ini yang tersembunyi khazanahnya yang semakin kita lupakan dan pinggirkan. Penempatan baharu dengan pembukaan tanah rancangan tanah baharu ini memberikan nafas segar bagi mengembalikan potensi belia negara dalam menterjemahkan wawasan falsafah mereka  untuk membantu membangunkan ekonomi negara.

FELDA generasi baru mestilah berwajah baharu dalam ruang lingkup trend terkini yang dapat memenuhi citarasa generasi masa kini. FELDA baharulah ini mestilah moden dan trendy. Konsepnya lain tetapi matlamatnya sama bagi menarik minat generasi kini untuk menyertai FELDA. Antara idea yang boleh diketengahkn untuk mewujudkan semula FELDA baharu ialah dengan mengabungjalinkan elemen-elemen baru dalam konsep FELDA ini. FELDA baharu ini mestilah berasaskan kepada “Bandar Teknologi Pertanian” yang mengabungkan elemen pertanian moden dengan perniagaan, keusahawanan, industri dan teknologi maklumat. FELDA seperti ini akan menzahirkan kepada satu bentuk potensi pertanian moden yang mampu mengangkat martabat sektor pertanian sebagai sesuatu yang menguntungkan dan akan tercapailah hasrat bagi sebuah makna “Pertanian itu adalah Perniagaan”.

Kawasan penempatannya mestilah didirikan dengan sebuah rumah yang selesa yang mempunyai 4 bilik sesuai dengan taraf hidup makhluk bumi sekarang ini. Setiap peneroka diberikan keluasan tanah yang bersesuaian untuk diusahakan. Kaedah pertanian moden harus diperkenalkan dalam konsep FELDA baharu ini untuk menjadikan generasi baru sebagai petani moden. Mereka haruslah didedahkan dengan kaedah-kaedah pertanian moden yang terkini untuk menanam asas jati tentang persepsi jiwa bahawa pertanian moden mampu memberikan hasil yang lumayan, disamping mengikis paradigma dajal yang menebal dalam diri bahawa pertanian adalah kerjaya marhain lagi hina.


Bidang pertanian adalah satu benteng ampuh untuk sesebuah negara bersiap siaga dalam menghadapi sebarang musibah bencana yang melanda. Bencana alam, kecelakaan peperangan, sekatan ekonomi dan segala macam bencana lagi. Pertanian adalah penyelamat bagi meneruskan sisa-sisa keberlangsungan hidup kerana perut manusia perlu diisi makanan untuk terus hidup. Banyak mana pun minyak di lautan, sebanyak mana pun kilang industri yang kamu ada, sehebat mana pun pelabuhan yang kamu miliki dan segagah badang sekalipun angkatan bala tentera kamu, tetapi bila tiada makanan maka bagaimana untuk kamu meneruskan survival hidup. Jadi, bidang pertanian adalah keperluan yang utama sebenarnya tetapi dipandang dingin dengan selekeh-lekehnya oleh umat manusia muda sekarang ini yang mana hanya tahu dalam sekelip mata perut mereka kenyang. Sudah tiba masanya kerajaan memperkasakan bidang pertanian dengan menyusun strategi yang visi dan misinya kearah satu pandangan dimensi yang baru. Maka, FELDA alaf baru ada satu-satunya jawapan kepada persoalan misteri itu.

Sesungguhnya yang baik itu datang daipada Allah swt dan yang buruk itu datang daripada kelemahan diri sendiri yang perlu diperbaiki dari semasa ke semasa. Wallahualam.




No comments: